MELAKA: Taktik licik seorang lelaki warga Singapura yang menjadikan sebuah kondominium di Tengkera di sini sebagai makmal mencetak kad debit palsu untuk pasaran Jepun terbongkar apabila diserbu polis, minggu lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek berusia 42 tahun itu ditahan pada 23 April lalu dalam operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
“Hasil pemeriksaan di lokasi menemui pelbagai peralatan termasuk satu set komputer, mesin pemotong laser jenama Finmark, mesin heat gun blower, mesin pengimbas kad debit, empat telefon bimbit, selain 227 keping kad debit Joint Development Bank (Laos) dan dua keping kad debit Bank of Monaco.
“Turut dirampas wang tunai SG$3,378 dan RM5,500 yang dipercayai berkaitan dengan kegiatan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Melaka, Bukit Beruang di sini, hari ini.
Menurut Dzulkhairi, siasatan awal mendapati, suspek mula menyewa kondominium berkenaan sejak Januari lalu bagi menjalankan aktiviti berkenaan.
“Suspek akan menerima bekalan kad debit kosong daripada pihak ketiga melalui kurier. Kemudian, dia akan meniru data dari kad asal dan membuat cetakan semula menggunakan mesin laser sebelum menampal cip dan jalur magnetik baharu.
“Kad debit ini kemudian diubah menjadi kad jenis Premium atau Platinum dan diuji menggunakan mesin pembaca kad untuk memastikan ia berfungsi sebelum dihantar ke Jepun,” jelasnya.
Tambahnya, kad debit yang diproses menggunakan nama individu berbangsa Jepun, dipercayai digunakan untuk berbelanja di luar negara dengan setiap kad memiliki nilai simpanan antara RM2,000 hingga RM50,000.
“Semakin tinggi nilai dalam akaun kad, semakin tinggi harga jualan kad berkenaan. Kad jenis Platinum atau Premium juga dijual lebih mahal berdasarkan kategori. Hasil risikan mendapati suspek menerima bayaran bulanan sebanyak SG$3,800 untuk kegiatan ini.
“Setakat ini, tiada laporan diterima daripada pihak berkuasa di Jepun berhubung penipuan kad debit ini, namun kami sedang bekerjasama dengan bank di Laos dan Jepun bagi mengenal pasti sejauh mana penyebaran kad tersebut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, Seksyen 424A kanun sama kerana memiliki instrumen pembayaran tanpa kebenaran sah serta Peraturan 39B Akta Imigresen 1959 kerana melanggar syarat pas. – UTUSAN