ALOR SETAR: Universiti Utara Malaysia (UUM) menubuhkan dua jawatankuasa khas bagi menyiasat insiden kemalangan yang mengorbankan mahasiswanya di kampus universiti itu, Sabtu lepas.
Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Foad Sakdan berkata, jawatankuasa khas itu bagi menyiasat insiden berkenaan dan menilai semula aspek keselamatan perkhidmatan bas kitaran kampus.
“Jawatankuasa Siasatan Kemalangan bertanggungjawab menjalankan siasatan terperinci terhadap punca kejadian bagi memastikan segala aspek berkaitan keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.
“Sementara Jawatankuasa Integriti Penilaian Perkhidmatan Bas Kitaran Kampus pula bertanggungjawab bagi menilai semula tahap kecekapan, pematuhan peraturan, integriti serta keberkesanan pengurusan perkhidmatan pengangkutan dalam kampus,” katanya di sini hari ini.
Katanya, pihak polis turut menjalankan siasatan berkaitan insiden tersebut.
“UUM sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan warganya termasuk pelajar menjadi keutamaan.
“Pihak UUM berkongsi kesedihan yang amat mendalam dengan keluarganya. Kehilangan seorang pelajar yang sedang meniti kejayaan adalah satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga, malah kepada universiti dan negara,” ujar beliau.
Dalam insiden itu, Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, pelajar Semester 4, Sarjana Muda Pemasaran dengan Kepujian disahkan meninggal dunia pada pada 6.30 petang di Hospital Sultanah Bahiyah. – UTUSAN