JITRA: Rancangan kerajaan negeri untuk membangunkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) yang menggunakan sistem teknologi levitasi magnet (maglev) di Pulau Langkawi tidak akan diteruskan.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, keputusan itu dicapai setelah pelabur dari Korea Selatan memutuskan untuk tidak melaksanakan projek tersebut.
Katanya, kajian menyeluruh mengenai potensi pembangunan infrastruktur antara Royal Eco Train Development (RETD) Korea dengan Q-plex selaku rakan strategik di Malaysia, serta Permodalan Kedah Berhad (PKB) itu telah siap dilakukan.
“Setelah mereka menunjukkan minat, langkah pertama kerajaan negeri adalah meminta mereka menjalankan kajian. Namun, hasil kajian mendapati belum lagi masanya untuk projek itu dilaksanakan,” katanya selepas merasmikan Aurelius Frontier Jitra, di sini semalam.
Menurut Haim Hilman, kerajaan negeri turut bersetuju bahawa pelaksanaan projek berimpak besar itu tidak perlu dilakukan terlalu awal kerana ia mungkin tidak memberi manfaat kepada semua pihak.
Tambah beliau, kerajaan negeri mahu memastikan sesuatu pelaburan yang dibuat mengikut keperluan sebenar dan dalam perancangan yang rapi.
“Masa yang tepat adalah sangat penting, dalam kegairahan kita menarik pelabur masuk kita juga beri pandangan bagi memastikan sebarang keputusan berpandukan kepada kajian dan keperluan,” ujarnya.
Ujarnya, keperluan terhadap sistem rel moden seperti itu boleh dikaji semula pada masa hadapan terutama selepas populasi Langkawi bertambah dan kemasukan pelancong semakin meningkat.
“Walaupun projek ini tidak diteruskan, kita mengalu-alukan pihak yang ingin bersama dalam pembangunan Pulau Langkawi. Malah, syarikat Korea itu masih menilai peluang lain untuk melabur di negeri ini, termasuk dalam sektor pembangunan berorientasikan transit serta pembangunan komersial biasa,” katannya.
Pada 29 April 2024, kerajaan Kedah mengumumkan satu kajian terperinci mengenai perkhidmatan LRT yang menggunakan sistem teknologi maglev dan pembangunan berorientasikan transit (TOD) akan dilakukan di Pulau Langkawi.
Ketika itu Haim Hilman berkata, kajian menyeluruh dijangka mengambil masa tiga ke enam bulan untuk disiapkan bagi menentukan panjang jajaran, stesen dan prasarana-prasarana berkaitan yang pada dasarnya menghubungkan Terminal Feri Kuah dan Pantai Chenang. – UTUSAN










