SEREMBAN: Pihak pemain industri pelancongan di Negeri Sembilan diingatkan supaya terlibat sama termasuk memperkenalkan produk-produk dan perkhidmatan bidang tersebut peringkat akar umbi.
Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, kualiti produk dan perkhidmatan di peringkat itu juga perlu dipertingkatkan agar pelancong tidak menjadikan Negeri Sembilan sebagai destinasi ‘sekali datang, tidak kembali’.
“Semua pemain industri dan agensi mesti aktif memperkenal serta mempromosi produk negeri sambil memberikan perkhidmatan terbaik, supaya pelancong tidak menjadikan Negeri Sembilan sebagai tempat pertama dan terakhir untuk dikunjungi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pembukaan Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) 2025 Negeri Sembilan di sini semalam. – UTUSAN










