KUALA LUMPUR: Pembangunan projek perumahan rakyat di seluruh negara khususnya di ibu kota perlu diutamakan berbanding pembangunan pencakar langit.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak peduli jika ketika era pemerintahannya tiada bangunan pencakar langit dibangunkan, sebaliknya mahu perumahan rakyat terbanyak didahulukan.
Hasilnya, sepanjang lebih dua tahun penubuhan Kerajaan Madani, sebanyak 468,000 rumah mampu milik telah pun dibina, diluluskan atau mendapat kebenaran merancang.
Jumlah itu akan terus meningkat dan dijangka mencapai sasaran 500,000 pada hujung tahun ini apabila dua lagi projek perumahan rakyat mampu milik mega akan diumumkan oleh kerajaan di Pulau Pinang dan membabitkan Bandar Malaysia Madani.
Justeru, Perdana Menteri mahu pada setiap bulan mesti ada projek besar perumahan mampu milik dilaksanakan bagi memenuhi permintaan rakyat terbanyak.
“Setiap bulan mesti ada projek besar perumahan yang saya minta diselaraskan oleh Nga Kor Ming melalui KPKT sama ada di bandar raya seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching mahu pun Kota Kinabalu, dinaikkan.
“Kemudian dari semasa ke semasa, Datuk Bandar mesti memberi kelulusan cepat, mesti cekap dan pada masa sama penguatkuasa mesti bersih daripada korupsi,” katanya dalam ucapannya di Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Belia Madani dan Rumah Mampu Milik di sini, hari ini.
Rumah mampu milik dengan nama Starloft Residence akan dibina sebanyak tiga blok 39 tingkat dengan 1,996 unit.
Setiap satunya dibina seluas 820 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air serta fasiliti bertaraf kondominium selain sebuah masjid serta 10,000 kaki persegi gerai.
Perdana Menteri berkata, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dalam mengendalikan projek perumahan, penekanan harus diberikan kepada rakyat terbanyak yang masih menunggu kediaman munasabah dan mampu milik.
Oleh demikian, katanya, dasar Kerajaan Madani tidak pernah menghalang mana-mana projek syarikat swasta namun pada masa sama masih mementingkan kebajikan rakyat yang memerlukan.
“Tanggungjawab kerajaan dalam mengendalikan projek-projek mesti diberi penekanan (perumahan mampu milik) kerana jumlah yang menunggu memiliki rumah (dengan harga) munasabah mampu milik yang memenuhi selera dan kepentingan mereka sangat sedikit.
“Dasar Kerajaan Madani tidak menghalang mana-mana projek swasta, kerja kita hanyalah percepatan (prosesnya) siapa mampu dia belilah.
“Terapi harus ada dasar jelas di kalangan pemerintah dan penjawat awam untuk memberi penekanan dalam hal ini, buat apa pembangunan kalau menyebabkan yang kaya bertambah kaya dan yang miskin papa kedana,” katanya.
Anwar berkata, keadaan itu mengakibatkan ada kesenjangan antara kelompok yang kaya terus mendapat faedah tetapi golongan terbanyak tersisih.
“Tidak akan selesai dengan hanya membina rumah di Batu dan di Kepong atau satu, dua projek perumahan Madani, mesti ada perancangan jelas dan pimpinan yang mempunyai tekad jelas,” katanya. – UTUSAN