USIM bangun panduan haji, umrah OKU penglihatan

USIM bangun panduan haji, umrah OKU penglihatan

KETUA projek merangkap Penyelaras Bahagian Penyelidikan Inklusif Ummi, Dr. Mohd. Nur Adzam Rasdi (dua dari kanan) menyerahkan prototaip Nota Kursus Asas Haji Versi Braille kepada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (Ummi) dilantik sebagai perunding bagi membangunkan panduan kursus haji dan umrah mesra orang kurang upaya (OKU) oleh Bahagian Bimbingan Haji, Lembaga Tabung Haji (TH).

Pembangunan projek ber­ke­naan bertujuan mening­katkan kefahaman dan pe­nguasaan komuniti OKU khu­susnya OKU penglihatan terhadap praktikal ibadah haji dan umrah.

Projek itu juga merupakan projek pertama yang melibatkan kepakaran universiti awam bersama-sama pihak TH untuk menyantuni komuniti OKU penglihatan.

Pengarah Ummi, Prof. Madya Dr. Norakyairee Mohd. Raus berkata, inisiatif ini merupakan usaha murni yang menyokong agenda inklusif di peringkat antarabangsa melalui pendekatan No One Left Behind.

Beliau berkata, skop projek berkenaan meliputi proses mengenal pasti, membangunkan dan menghasilkan buku panduan ibadah haji dan umrah bagi komuniti OKU penglihatan melalui persetujuan kedua-dua belah pihak iaitu USIM dan TH.

Katanya lagi, proses transkripsi panduan telah selesai dijalankan dan draf akhir panduan tersebut telah diserahkan kepada pihak TH bagi tujuan semakan.

“Projek ini juga menyokong Pelan Tindakan Agensi Agama bagi OKU muslim 2024-2028 ke arah usaha pengupayaan masyarakat cakna OKU dan pemerkasaan komuniti OKU, “katanya

Sementara itu, Ketua Bahagian Bimbingan Haji TH, Shahrin Awaludin berkata, TH berusaha memberikan komitmen tinggi dalam memastikan jemaah haji dalam kalangan OKU turut diberi perhatian, kefahaman, dan kemudahan sewajarnya untuk menyempurnakan ibadah mereka.

“Usaha penambahbaikan daripada segala sudut perkhidmatan sentiasa menjadi keutamaan dan akan diperting­katkan dari semasa ke semasa,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN