Tetap cemerlang walaupun sibuk bekerja cuci pinggan

Tetap cemerlang walaupun sibuk bekerja cuci pinggan

MUHAMMAD Danish Zulkarnain Abdullah bersama ahli keluarganya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Walaupun cuma mendapat keputusan 1A dan 5B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan kelmarin, ia sudah cukup membanggakan buat penerimanya, Muhammad Danish Zulkarnain Abdullah, 18, dan keluarganya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Haji Muhamad di sini itu berkata, keputusan tersebut adalah hasil usahanya walaupun terpaksa membahagikan masa untuk belajar dan bekerja bagi membantu kehidupan keluarga sejak usianya 15 tahun lagi.

“Keluarga saya susah, jadi apabila cuti sekolah termasuk hari Sabtu dan Ahad, saya akan bekerja sambilan sejak di tingkatan tiga lagi.

Semua saya boleh buat, basuh pinggan, buat air dengan gaji RM50 sehari, dalam sebulan, saya boleh berikan RM400 kepada keluarga.

“Semasa tingkatan lima saya bekerja waktu siang sahaja dan malamnya dapatlah saya belajar bersama rakan dan guru.

“Saya berikan sepenuh perhatian semasa dalam kelas termasuk melalui kelas tambahan yang diberikan guru pada sebelah malam, dua minggu sebelum peperiksaan, semua calon SPM perlu tinggal di asrama sekolah, itu juga banyak membantu saya,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Gelugor, Batu Kikir di sini semalam.

Dia bersyukur dan berterima kasih kepada rakan-rakannya yang banyak membantu selain guru-guru yang memahami kesusahan dan keadaan ekonomi keluarga yang dihadapinya.

“Saya kini bekerja sambilan dan sedang mengumpulkan wang untuk menyambung pelajaran bagi mengejar cita-cita sebagai pendidik,” katanya.

Muhammad Danish memberitahu, keluarganya juga hanya bergantung harap dengan pendapatan bapa tirinya sebagai penjaga tandas dan kakaknya yang bekerja di kedai kasut.

Menurutnya, ibunya, Ria Anggerina Abdullah, 40, pula mengalami keterbatasan untuk bergerak akibat kemalangan dan terjatuh di tempat kerja.

Ria Anggerina berkata, Muhammad Danish yang merupakan anak keduanya banyak membantu keluarga.

“Pergerakan saya terbatas sedikit jadi ada kalanya dia akan dukung saya jika mahu naik tangga. Danish juga membantu bapanya membasuh tandas awam dan kerja-kerja sambilan lain.

“Saya sudah cukup bangga dengannya, dia membantu mencari duit belanja persekolahan adik-adiknya ketika dia sendiri perlu menghadapi SPM, orang lain tidak buat begitu, itu yang membanggakan saya,” katanya yang ada menerima bantuan kewangan daripada Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya