413,372 calon duduki SPM hari ini

413,372 calon duduki SPM hari ini

SEORANG guru pulang selepas kawasan Sekolah Tengku Budriah (STB), Arau, Perlis, mula ditenggelami banjir, semalam. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 413,372 calon berdaftar bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mula menduduki peperiksaan bertulis hari ini di 3,350 pusat peperiksaan seluruh negara.

Bagaimanapun, seramai 78 calon peperiksaan itu dilaporkan terjejas akibat banjir di seluruh negara setakat pukul 11.50 pagi semalam.

Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, Kelantan mencatat jumlah calon paling ramai terjejas iaitu 66 orang, diikuti Pulau Pinang enam dan masing-masing tiga orang di Kedah dan Terengganu.

Seramai 56 calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Falahiah di Kelantan ditempatkan di asrama tumpang sekolah itu, manakala 17 calon lain yang menjadi mangsa bencana berkenaan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) termasuk seorang berada di rumah dan di asrama asal.

Beliau berkata, bagi memastikan perjalanan peperiksaan tidak terganggu, Kementerian Pendidikan (KPM) mengaktifkan pelaksanaan Ops Payung, satu operasi khas yang diwujudkan bagi membantu calon yang berdepan kesukaran untuk hadir ke pusat peperiksaan akibat bencana.

“Ops Payung menyediakan pelbagai bentuk sokongan termasuk pengangkutan masuk dan keluar ke pusat peperiksaan dan pemindahan calon ke pusat peperiksaan yang tidak terjejas.

“Ini termasuk menguruskan penempatan sementara calon di asrama sekolah, serta penyediaan pusat peperiksaan alternatif bagi sekolah yang ditenggelami banjir,” katanya di sini semalam.

Dr. Mohd. Azam turut memaklumkan bahawa sebanyak 18 buah sekolah di seluruh negara turut terjejas akibat banjir.

Justeru, katanya, langkah kontingensi diaktifkan bagi memastikan peperiksaan penting negara itu berjalan tanpa gangguan besar.

Dalam pada itu, KPM turut memberi kelonggaran pakaian kepada calon yang terjejas dan mereka dibenarkan hadir ke pusat peperiksaan dengan pakaian yang sesuai dan tidak mencolok mata.

Katanya, ini memandangkan ramai terpaksa berpindah secara berperingkat mengikut situasi atau berhadapan kesukaran mendapatkan pakaian lengkap.

Mengulas pelan kontingensi di kawasan berisiko tinggi seperti Kelantan, beliau berkata, KPM telah menyediakan Pelan B sebagai langkah tambahan antaranya memindahkan pusat peperiksaan ke lokasi lebih selamat.

Ini termasuk menempatkan calon terjejas di asrama sekolah, dan menyediakan pusat peperiksaan alternatif sekiranya sekolah sedia ada tidak boleh digunakan.

KPM juga telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di semua peringkat KPM dan JPN melibatkan beberapa agensi antaranya seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), MET Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

KPM turut mengaktifkan Bilik Gerakan khusus bagi menguruskan calon peperiksaan yang terlibat dan terkesan dengan bencana sebelum atau semasa peperiksaan dilaksanakan.

Dr. Mohd Azam menegaskan, keutamaan KPM adalah memastikan setiap calon SPM mendapat peluang menduduki peperiksaan tanpa mengira cabaran di lapangan, terutama ketika musim tengkujuh kini menunjukkan peningkatan paras air di beberapa negeri.

“Walau apa pun situasinya, kami akan pastikan calon dapat menduduki peperiksaan dengan selamat dan teratur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×