Guru bermalam bantu calon SPM terjejas banjir

Guru bermalam bantu calon SPM terjejas banjir

CALON-CALON SPM SMK Dusun Nanding berkumpul dan mengulang kaji sebelum menjawab kertas Bahasa Melayu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT: Seramai enam guru SMK Dusun Nanding sanggup bermalam di sekolah secara sukarela bagi memastikan 62 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas banjir dapat menduduki peperiksaan tanpa gangguan.

Pengetuanya, Rozman Abdul Kadir berkata, keputusan itu dibuat secara mengejut selepas beliau menerima maklumat bahawa beberapa rumah pelajar dinaiki air menjelang peperiksaan kertas Bahasa Melayu hari ini.

Katanya, guru-guru berkenaan tampil menawarkan diri tanpa paksaan ketika beliau meminta bantuan menguruskan pelajar pada malam pertama pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi.

ROZMAN ABDUL KADIR

“Apabila saya tawarkan siapa yang boleh datang bermalam dan jaga murid, jawapan mereka cuma ‘kami sukarela’. Itu sangat melegakan saya,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Jelas beliau, empat guru perempuan dan dua guru lelaki mengambil alih tugas menjaga keselamatan serta kebajikan pelajar sepanjang malam sebelum bantuan daripada polis, RELA dan agensi lain tiba pada keesokan harinya.

Rozman berkata, PPS itu dibuka secara mengejut kerana sekolah itu tidak merancang untuk menjadi pusat pemindahan, namun keadaan memaksa mereka bertindak segera demi memastikan calon dapat hadir ke peperiksaan.

Beliau menjelaskan seramai 72 calon SPM dikenal pasti terjejas akibat kediaman dinaiki air atau kesukaran bergerak ke sekolah, namun 62 memilih untuk bermalam di PPS bagi memudahkan urusan peperiksaan.

Pelajar lelaki ditempatkan di khemah manakala pelajar perempuan ditempatkan di surau, termasuk seorang pelajar bukan Islam yang turut selesa berada bersama rakan-rakan lain.

Rozman berkata, struktur pengurusan PPS itu menjadi lebih tersusun selepas Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat, Pejabat Ahli Parlimen Hulu Langat dan agensi keselamatan menyalurkan pelbagai bantuan pagi tadi.

Beliau turut memaklumkan, ibu bapa memberi kerjasama baik selepas sekolah menawarkan kemudahan bermalam untuk pelajar sepanjang tempoh peperiksaan.

“Mereka lega kerana fasiliti disediakan. Biasanya mereka akan ke PPS Sungai Serai, tapi kali ini ia berlaku pada minggu peperiksaan, jadi mereka datang ke sini,” katanya.

Tambah beliau, PPS itu dijangka beroperasi sekurang-kurangnya dua hingga tiga hari, namun sekolah bersedia meneruskannya sehingga semua pelajar yang terkandas boleh pulang ke rumah yang sudah bersih dan selamat.

Rozman menasihatkan calon SPM agar kekal tenang dan tidak berputus asa meskipun diuji banjir.

“Bencana ini ujian. Cari bantuan, jangan susah sendiri. Kalau kita berjaya harungi cabaran ini, kita akan muncul lebih kuat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN