Terengganu, Kelantan diberi fokus pulih dadah

Terengganu, Kelantan diberi fokus pulih kes dadah

SHAMSUL Anuar Nasarah (dua dari kanan) beramah mesra bersama tetamu pada program Ramah Mesra Klien AADK di Kuala Nerus, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) memberi fokus di negeri ini dan Kelantan dalam usaha pemulihan dadah bagi mencapai sasaran ditetapkan iaitu 400 kes dadah bagi setiap 100,000 penduduk.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, dua negeri diberi tumpuan kerana mempunyai kadar penagihan tertinggi mengikut populasi penduduk di negara ini.

Katanya, kedudukan Terengganu dan Kelantan yang berhampiran dengan sempadan negeri jiran dan kaedah pengedaran kini mengikut jalan laut antara punca kes penagihan dadah tinggi di dua negeri berkenaan.

“Terengganu misalnya walaupun berlaku sedikit penurunan bilangan penagih dadahn berbanding tahun 2023 tetapi masih antara tertinggi di negara ini. Isu dadah harus dijadikan masalah bersama, bukan isu politik atau sengaja diadakan. Matlamat kita meletakkan dadah sebagai musuh nombor satu.

“Kita harus memberi tumpuan bersungguh-sungguh, tanggungjawab tidak boleh diletakkan semata-mata kepada AADK tetapi harus dijadikan masalah bersama semua pihak,” katanya pada program Ramah Mesra bersama Klien AADK di sini, semalam.

Shamsul Anuar berkata, selain penguatkuasaan, usaha pemulihan melibatkan keluarga penagih sedang giat dilakukan bagi menangani isu penagihan dadah terbabit.

“Kajian AADK menunjukkan kadar kejayaan pemulihan lebih tinggi dalam kalangan penagih yang menerima sokongan daripada masyarakat terutama ahli keluarga sendiri,” ujarnya.

Beliau memberitahu, sebanyak 39.8 peratus atau 76,880 orang daripada 192,857 individu yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah di seluruh negara tahun lalu mempunyai taraf pendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) dan ke atas.

“Seramai 42,545 penagih atau 22.1 peratus lagi mempunyai kelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau yang setaraf; seramai 14,773 orang (7.7 peratus) mempunyai tahap pendidikan rendah manakala 58,659 orang (30.4 peratus) lagi tiada pendidikan formal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN