Ops Bersepadu Dadah: 10 pemandu kenderaan perdagangan positif dadah di Pahang - Utusan Malaysia

Ops Bersepadu Dadah: 10 pemandu kenderaan perdagangan positif dadah di Pahang

SYED Ahmad Khirulanwar Alyahya (dua dari kiri) melakukan pemeriksaan Ops Bersepadu Dadah ke atas pemandu lori di Lebuhraya Pantai Timur ( LPT-1) di Temerloh, Pahang. - FOTO/SHEIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mengesan 10 pemandu kenderaan perdagangan positif dadah selepas menjalani saringan dalam Ops Bersepadu Dadah yang dilaksanakan di 10 lokasi strategik di seluruh negeri sejak 1 Julai lalu.

Pengarah JPJ Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, seramai 351 pemandu membabitkan kenderaan perdagangan, kenderaan perkhidmatan awam dan kenderaan pelancongan diperiksa sepanjang operasi yang kini memasuki hari ke-14.

“Setakat ini, 10 pemandu kenderaan berat berusia antara 29 hingga 55 tahun didapati positif dadah. Semua mereka diambil tindakan mengikut bidang kuasa AADK, manakala JPJ menggantung lesen vokasional PSV dan GDL mereka bagi tujuan siasatan sebelum tindakan lanjut diambil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam akhbar di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh di sini.

Syed Ahmad Khirulanwar berkata, daripada 10 lokasi operasi yang dijalankan, lima kes dikesan di R&R Temerloh, masing-masing dua kes di Stesen Penguatkuasa (SPK) Benta dan SPK Paloh Hinai, manakala satu lagi di SPK Maran.

Katanya, kebanyakan pemandu yang positif dadah didapati menyalahgunakan methamphetamine dan dipercayai mengambil bahan terlarang itu bagi meningkatkan tenaga serta tahap fokus ketika memandu.

Sementara itu, beliau berkata, semakan rekod turut mendapati seorang pemandu yang positif dadah mempunyai 42 saman JPJ yang sudah dijelaskan, manakala seorang lagi 11 saman, selain beberapa pemandu lain memiliki antara satu hingga sembilan saman.

Menurutnya, rekod tersebut menunjukkan masih terdapat pemandu yang berulang kali melakukan kesalahan, sekali gus menimbulkan kebimbangan pihak berkuasa walaupun semua saman berkenaan telah dijelaskan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN