PORT DICKSON: Tanaman padi secara hidroganik yang diusahakan seorang usahawan di laman rumahnya berjaya mengubah landskap pertanian bandar dengan menghasilkan kira-kira 50 kilogram (kg) padi bagi setiap musim menuai.
Ibrahim Inon, 41, berkata, sistem hidroganik yang menggabungkan kaedah hidroponik dan organik masih baharu di Malaysia berbanding di negara jiran Indonesia yang sudah mengaplikasikannya sejak tahun 2018.
Pada mulanya, Ibrahim cuba menanam padi pada skala kecil di laman rumahnya di Taman Bukit Cendana, Pasir Panjang di sini sebelum menyewa tanah di sebelah rumahnya selepas melihat potensi besar sistem tanaman itu.
“Selepas membuat kajian tanam padi sistem hidroganik ini, saya cubanya sendiri dalam skala kecil bermula 40 rumpun padi sahaja dan sangat mengujakan bila tengok ia menjadi.
“Dengan menggunakan kos lebih RM30,000, saya cuba dengan skala lebih besar pula di tanah yang disewa sebelah rumah dan menanam 368 rumpun padi jenis MR297 yang dibeli dari Kedah dan padi jenis MQ47 dari Kuala Selangor,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pasir Panjang di sini baru-baru ini.
Menurut Ibrahim, hasil tanaman 368 rumpun padi yang diusahakannya mampu menghasilkan antara 50kg sehingga 60kg beras setiap kali musim menuai.
“Setiap empat bulan, padi sudah boleh dituai dan bagi skala yang saya buat ini cukup untuk menampung beras bagi setiap isi rumah dalam tempoh setahun.
“Jadi kalau kita semua mampu buat, tidak perlu lagi beli beras dan tentunya sekuriti makanan kita lebih terjamin,” katanya.
Ibrahim berkata, kos memulakan tanaman itu begitu tinggi bergantung kepada saiz tanaman dan kolam ikan yang digunakan dengan keperluan utamanya ialah sistem paip polivinil klorida (PVC), rangka besi, kolam beserta pam air.
“Sistem hidroganik ini menggabungkan elemen hidroponik iaitu teknik penanaman tanpa tanah dan organik bermaksud, baja dihasilkan semula jadi tanpa bahan kimia.
“Tanaman padi dibuat di atas kolam ikan dan najis ikan akan menjadi baja semula jadi kepada tanaman,” katanya.
Ibrahim yang mendapat bantuan mesin memproses padi daripada Jabatan Pertanian memberitahu, keuntungan juga boleh diperoleh melalui hasil ternakan ikan.
Dia menternak 3,000 ikan keli dan 1,500 tilapia yang apabila sampai tempoh matang akan dijual kepada pelanggan.
Bagi Ibrahim, sistem hidroganik boleh dijadikan sebagai alternatif pertanian terutama bagi mereka yang tidak mempunyai kawasan tanah bersesuaian. – UTUSAN










