BATU KAWAN : Lebih 80 buah lori tangki mula digerakkan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) hari ini sebagai persediaan awal bagi menghadapi gangguan bekalan air berjadual (SWSI) yang dijangka bermula kira-kira pukul 10 malam esok.
Selain Pulau Pinang, jumlah lori tangki itu turut melibatkan beberapa buah syarikat operator bekalan air dari negeri lain seperti Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Kedah dan Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, pada masa yang sama, PBAPP turut menempatkan beberapa buah tangki air di lokasi-lokasi strategik untuk kemudahan penduduk setempat mendapatkan bekalan air.
“Buat masa ini, kita telah sediakan sebanyak 111 buah tangki statik yang setiap satunya berkapasiti 2,000 liter, 71 tangki fleksibel (berkapasiti 24,000 liter) dan 23 tangki jumbo yang berkapasiti sehingga 50,000 liter setiap satu.
“Pengagihan bekalan air ini pula kita akan buat secara berperingkat-peringkat di mana ada kawasan yang akan menerima bekalan air seawal tempoh 24 jam dan ada kawasan yang akan menerima bekalan selepas 48 jam atau sehingga tempoh maksimum iaitu 60 jam,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis simbolik pelepasan atau ‘flag-off’ lori-lori tangki PBAPP serta operator bekalan air negeri lain di pekarangan Stadium Batu Kawan di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. K. Pathmanathan dan Pengarah Pejabat Operasi Wilayah Utara bagi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Khithob Ahmad.
Terdahulu, PBAPP menjangkakan gangguan bekalan air akan berlaku di kebanyakan lokasi di kelima-lima daerah di Pulau Pinang bermula pukul 10 malam esok dan akan berakhir selewat-lewatnya pukul 10 pagi pada 28 April susulan henti tugas separa di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua bagi pelaksanaan 23 projek kerja air berjadual di seluruh negeri.
Difahamkan, gangguan air tersebut akan memberi kesan kepada 341,708 pengguna air di seluruh Pulau Pinang termasuk beberapa kawasan perindustrian dan sebagainya.
Sementara itu, Zairil berkata, pihaknya memahami masalah yang dihadapi oleh sesetengah penduduk khususnya di kawasan yang sering menghadapi isu gangguan air sebelum ini seperti di Mukim 5, Sungai Bakap di Seberang Perai Selatan (SPS) dan lain-lain.
Justeru katanya, perhatian yang lebih akan diberi kepada kawasan-kawasan ini selain beberapa kawasan lain dalam daerah Barat Daya khususnya di Bayan Lepas dan Teluk Kumbar yang sering berdepan masalah yang sama sehingga menjejaskan urusan seharian penduduk.
“Dalam hal ini, kerajaan negeri dan PBAPP sekali lagi memberi jaminan bahawa bekalan air yang kita sediakan adalah mencukupi untuk tempoh sehingga 60 jam atau sehingga semua tempat menerima bekalan air seperti biasa,” kata beliau.-UTUSAN