KOTA BHARU: Seorang suri rumah hanya mampu berputih mata selepas pelbagai barangan kemas miliknya yang bernilai lebih RM30,000 hangus dijilat api dalam kejadian kebakaran lapan buah rumah di Kampung Kijang, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini hari ini.
Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 4.48 petang itu menyebabkan seramai 31 mangsa daripada lapan buah keluarga tinggal sehelai sepinggang.
Kamariah Awang Hamat, 56, berkata, dia tidak sempat menyelamat pelbagai jenis barang kemas yang dianggarkan bernilai RM30,000 ketika kebakaran.
Menurutnya, dia tiada di rumah semasa kejadian kerana sedang menjaga anaknya yang patah kedua-dua paha akibat kemalangan di Kampung Lundang di sini.
“Saya mengetahui rumah terbakar selepas dihubungi oleh anak, Hakimi Suliman, 22, yang berada di dalam rumah ketika itu. Dia yang sedang tidur bingkas bangun selepas terdengar bunyi bising di luar rumah.
“Saya bergegas pulang ke rumah dan mendapati sebahagian rumah hangus dijilat apo. Saya tidak sempat menyelamat pelbagai barang kemas milik saya yang dianggarkan bernilai lebih RM30,000,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Mohd. Farid Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.48 petang sebelum anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.
Menurutnya, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar kebanyakan rumah yang diperbuat daripada struktur kayu.
“Kebakaran dapat dikawal dalam tempoh lebih sejam berikutan angin kuat. Kesemua mangsa yang terdiri daripada lapan keluarga sempat keluar dari rumah dan menyelamatkan diri dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,”ujarnya.-UTUSAN