IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan rasa dukacita di atas pemergian Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia semalam.
Sebagai menandakan rasa sedih dan dukacita rakyat dan negeri Perak, baginda menitahkan bendera Negeri Perak dikibarkan separa tiang hari ini.
“Beta bersama Raja Permaisuri Perak, Dewan ini dan seluruh rakyat beta di Negeri Perak menzahirkan rasa dukacita atas kembalinya ke Rahmatullah Perdana Menteri Malaysia kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi dan menzahirkan ucapan takziah kepada Tun Jean Abdullah dan keluarga Allahyarham .
“Semoga roh Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dilimpahi rahmat İhsan İlahi ditempatkan dalam kalangan roh para Solihin.
“Menandakan rasa sedih dan dukacita rakyat dan Negeri Perak, dititahkan bendera Negeri Perak dikibarkan separa tiang pada hari ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak di sini hari ini.
Sultan Nazrin turut merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga bekas ADUN Ayer Kuning, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia pada 22 Februari lalu.
“Pemergian Ishsam ketika baharu berusia 58 tahun merupakan satu kehilangan besar kepada negeri Perak, Dewan ini, dunia bola sepak, rakyat di Air Kuning, lebih-lebih lagi kepada balu dan dua orang didik Allahyarham, Puan Rozlita Abdullah serta Isnabil dan Iszul Imadi.
“Semoga roh Allahyarham dilimpahi ihsan rahmat Ilahi, ditempatkan dalam kalangan roh para solihin.
“Beta bersama Raja Permaisuri dan ahli-ahli Dewan ini merakamkan ucapan takziah kepada Puan Rozlita Abdullah dan ahli-ahli keluarga Allahyarham; semoga mereka diberikan ketabahan, reda menerima penentuan Ilahi,” titah baginda. – UTUSAN