Subsidi telur ayam ditamat berfasa mulai esok, telur gred khas diperkenal

Subsidi telur ayam ditamat berfasa mulai esok, telur gred khas diperkenal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kawalan harga dan subsidi telur ayam ditamatkan secara berfasa mulai esok selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi di bawah inisiatif Kerajaan Madani.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi kenyataan memaklumkan, kadar subsidi telur ayam dikurangkan dari RM0.10 kepada RM0.05 sebiji, berkuat kuasa mulai esok sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 1 Ogos depan.

Susulan itu, langkah-langkah intervensi dilaksanakan antaranya pihak industri bersetuju untuk memperkenalkan telur gred khas pada harga yang munasabah.

Jelasnya, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam yang cukup dan terjamin berikutan kos pengeluaran stabil.

“Ini terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri yang  lalu di mana ketersediaan bekalan adalah mencukupi dengan harga yang kompetitif.

“Sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, Kerajaan membelanjakan hampir  RM2.5 bilion untuk pembayaran subsidi telur ayam kepada pihak industri bagi  menampung peningkatan kos pengeluaran.

“Ia berikutan pandemik Covid-19 serta kesan peperangan antara Ukraine dan Russia ke atas harga import soya dan jagung  bijian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KPKM berkata, kerajaan juga telah mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi yang terlalu lama adalah satu tindakan tidak mampan kepada kelangsungan  industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara.

Selain itu, katanya, langkah penyasaran semula subsidi adalah lebih adil memandangkan ketika ini, subsidi turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

“Hasil penjimatan daripada peruntukan tersebut kelak boleh digunakan untuk  pembiayaan projek-projek tertentu untuk kesejahteraan rakyat selaras dengan nilai-nilai Madani.

“Bagi meminimumkan impak ke atas kos sara hidup, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan langkah-langkah intervensi,” katanya.

Antara langkah intervensi lain ialah rakyat boleh mendapatkan bekalan telur pada harga yang lebih kompetitif  melalui inisiatif Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah di seluruh negara  termasuk di semua outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan  (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

“KPDN akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan melalui pemantauan  berterusan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011  (AKHAP 2011) bagi membanteras sebarang aktiviti pencatutan atau  manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN