Sindiket dadah Amerika Latin tumpas, dadah RM82j dirampas

Sindiket dadah Amerika Latin tumpas, dadah RM82j dirampas

Mat Zani @ Mohd. Salahuddin Che Ali menunjukkan pelbagai jenis dadah yang berjaya dirampas di Bukit Aman, semalam. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis menum­paskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa berpangkalan di Amerika Latin dengan rampasan dadah bernilai RM82.14 juta, hasil tiga serbuan di Kajang dan Cheras, baru-baru ini.

Tangkapan membabitkan tiga lelaki tempatan berusia antara 27 hingga 39 tahun itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada 24 dan 25 April lalu.

Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd. Salahuddin Che Ali berkata, serbuan pertama dijalankan pada 24 April jam 4.30 petang di sebuah rumah tiga tingkat di Taman Nadayu, Kajang.

“Di lokasi pertama, polis menemui 830 bungkusan syabu dan 56 guni plastik berisi dadah yang sama, selain pelbagai peralatan pembungkusan. Ketiga-tiga suspek dipercayai sedang menjalankan kerja pembungkusan dadah di rumah tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Dua serbuan susulan dilakukan awal pagi 25 April di sebuah apartment di Cheras Perdana dan sebuah kondominium di Cheras membabitkan rampasan 98 bungkusan ketamin, plastik lutsinar berisi syabu dan 81 bungkusan ketulan ekstasi.

“Jumlah keseluruhan dadah dirampas adalah 1,986 kilogram (kg) syabu, 97 kg ketamin dan 82 kg ketulan ekstasi, menjadikan nilai rampasan mencecah RM82.14 juta,” katanya.

Ketiga-tiga suspek disyaki mempunyai hubungan kekeluargaan dan dipercayai menjadi perancang utama operasi sindiket antarabangsa itu yang menggunakan Malaysia sebagai pusat transit.

Menurut Mat Zani, modus operandi sindiket ialah menyeludup dadah dari Amerika Latin melalui Pelabuhan Klang menggunakan kontena, disamarkan sebagai plastic flakes.

Dadah kemudiannya dibungkus semula di kondominium yang disewa antara RM2,000 hingga RM2,600 sebulan untuk dihantar ke Korea Selatan dan Jepun, di mana harga satu kilogram syabu boleh mencecah lebih RM400,000.

“Hasil semakan mendapati seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala dua lagi mempunyai rekod jenayah lampau. Mereka kini direman sehingga 1 Mei dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Turut disita empat kende­raan termasuk dua Toyota Vios, sebuah Toyota Altis dan Proton Saga dengan nilai keseluruhan RM95,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN