Sim Tze Tzin tawar diri bertanding Naib Presiden PKR

Sim Tze Tzin tawar diri bertanding Naib Presiden PKR

SIM Tze Tzin pernah dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2007.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin hari ini mengesahkan bahawa beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti itu bulan depan.

Tze Tzin yang juga Ketua Cabang PKR Bayan Baru berkata, parti itu bukan asing baginya kerana beliau telah terlibat dalam gerakan reformasi sejak 1998 iaitu ketika masih menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Rakan seperjuangan saya seperti Nurul Izzah Anwar, Amirudin Shari dan ramai lagi sering digelar sebagai Generasi Reformasi dan kesedaran politik kami tercetus daripada gerakan reformasi. Parti Keadilan adalah wadah politik kami, manakala reformasi menjadi idealisme yang kami junjung.

“Justeru, setelah 26 tahun jatuh bangun bersama Parti Keadilan, kini saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden dalam Pemilihan 2025. Saya telah berbincang dengan beberapa pimpinan kanan parti, dan mereka menyokong hasrat saya ini,” katanya di sini, hari ini.

Tze Tzin yang juga bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2007 itu pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak pada Pilihan Raya Umum yang ke-12 (PRU-12) pada 2008.

Pada PRU berikutnya iaitu 2013, beliau bertanding kerusi Parlimen Bayan Baru dan memenangi kerusi tersebut sebelum kekal berkhidmat sebagai Ahli Parlimen kawasan itu sehingga ke hari ini.

Dalam pada itu, Tze Tzin memberitahu, sebagai calon Naib Presiden PKR, beliau menawarkan tiga aspirasi utama sekiranya diberikan mandat untuk memegang jawatan berkenaan termasuk berusaha sepenuh hati untuk memenangkan sekurang-kurangnya 60 kerusi kritikal demi memperkukuh kedudukan parti tersebut.

“Keduanya, saya bertekad untuk membantu misi Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam membasmi kemiskinan, serta melonjakkan Malaysia ke status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

“Dan ketiga, saya memahami aspirasi akar umbi parti yang dahagakan perpaduan, perhatian, dan pembelaan,” katanya yang akan mengusulkan penubuhan sebuah Biro Keahlian sepenuh masa yang khusus menangani isu-isu berkaitan keahlian, pengurusan kad ahli, dan kebajikan ahli.

Jelas Tze Tzin, beliau juga konsisten dalam mendukung idealisme reformasi sepanjang perjalanan politiknya terutama di peringkat cabang apabila berjaya memenangi empat kali pilihan raya berturut-turut, meraih kemenangan di semua kerusi Parlimen selain tiga kerusi di peringkat DUN dengan majoriti yang semakin meningkat.

“Ketika memegang jawatan Timbalan Menteri Pertanian pula, saya berjaya memperluaskan perlindungan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) kepada lebih 200,000 nelayan miskin, membolehkan mereka turun ke laut dengan lebih yakin dan terlindung.

“Selain itu, sebagai Pengarah Strategi Pusat (PKR) paling lama berkhidmat (2013–2022), saya memainkan peranan penting dalam kejayaan bersejarah menukar kerajaan persekutuan pada tahun 2018,” katanya yang kekal setia bersama parti dan menolak sebarang bentuk pengkhianatan termasuk ketika Sheraton Move sebelum ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya