KUALA LUMPUR: Sebuah restoran nasi kandar di Jalan Telawi di sini mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM5,000 akibat insiden rusuhan membabitkan dua kumpulan pada awal pagi Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi itu, pengurus restoran terbabit memaklumkan pergaduhan tercetus melibatkan antara lapan hingga 10 lelaki yang bertindak merosakkan peralatan di dalam premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, antara kerosakan yang dilaporkan termasuk cermin kaunter makan pecah, sebuah meja makan kemek serta perhiasan Al-Quran di dinding yang turut musnah.
“Akibat kekecohan itu, beberapa pelanggan yang sedang menikmati makanan melarikan diri tanpa membayar bil berjumlah kira-kira RM1,000.
“Siasatan awal mendapati pergaduhan tercetus apabila seorang wanita daripada salah satu kumpulan terlibat dipercayai telah diganggu oleh kumpulan lawan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, setakat ini, tiga orang saksi telah dirakam percakapan dan beberapa suspek yang dikenal pasti sedang giat dikesan.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan merosakkan harta benda.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil membantu siasatan,” katanya.- UTUSAN