Saya mahu ayah tahu yang saya sayangkan dia - Nabila Huda - Utusan Malaysia

Saya mahu ayah tahu yang saya sayangkan dia – Nabila Huda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Saya rindu pada dia (ayah). Alhamdulillah, doa saya untuk bertemu dia (ayah) dimakbulkan Allah.”

Demikian perkongsian pelakon, Nabila Huda mengenai pertemuan dengan bapanya yang juga penyanyi Rock, Amy Search dalam satu majlis baru-baru ini.

Kata Nabila atau mesra disapa Abil, dia bersyukur rindunya kepada Amy terawat menerusi pertemuan tidak disengajakan itu.

“Kami sudah lama tidak berjumpa. Jadi, rindu saya kepadanya terlerai seketika dalam pertemuan baru-baru ini.

“Walaupun pertemuan itu tidak disengajakan sebab saya pun tak tahu dia berada di majlis itu, ia tetap menyeronokkan.

“Memang sudah lama saya pasang niat untuk berjumpa dia. Alhamdulillah, kami dipertemukan sempena Hari Raya ini,” kongsinya.

Nabila berkata demikian pada Malam Gala Telaga Suriram di ibu negara, semalam.

Berkongsi perincian pertemuan tersebut, Nabila memaklumkan dia sempat meminta maaf dan menyatakan kerinduan kepada bapanya.

“Kami saling bersalaman dan ucap selamat hari raya. Saya maklumkan dia bahawa saya rindu dan sayangkan dia.

“Syukur kerana doa saya untuk bertemu dia termakbul sebelum hari raya berakhir,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, ibu seorang cahaya mata itu sentiasan mendoakan kebahagiaan bapanya dan berharap agar mereka diberikan kesempatan untuk disatukan sebagai satu keluarga.

“Saya akan emosi kalau bercakap mengenai hubungan saya dengan bapa. Isu tak pernah selesai, daripada saya kecil sampailah sekarang. Saya pasti ramai yang maklum tentang masalah antara kami.

“Untuk jernihkan masalah antara kami, saya tak tahu. Saya terima sahaja apa yang berlaku. Hubungan kami pulih atau tidak, saya lalui sahaja keadaan itu.

“Tak guna saya emosi. Hidup perlu diteruskan, masing-masing pun ada kehidupan sendiri. Mungkin situasi, masa dan takdir memisahkan kami. Tak mengapalah, kalau kami tidak bahagia sebagai satu keluarga di dunia ini, mungkin kami bahagia di ‘sana’.

“Walaubagaimanapun, saya doakan dia agar sentiasa bahagia, panjang umur. Saya cuma mahu dia tahu yang saya sayangkan dia dan berharap satu hari nanti kami bersatu sebagai keluarga,” luahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN