KAJANG: “Semua rumah sewa itu adalah sumber pendapatan saya. Sekarang saya hilang segala-galanya.”
Demikian keluhan seorang mangsa, Zainuddin Abdul Halim, 60, selepas lapan buah rumah sewa dan sebuah kediamannya miliknya yang terletak di Kampung Kuala Sungai Baru rosak teruk akibat letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, pada Selasa lalu.
Dalam kejadian itu, sebanyak 237 kediaman dan lebih 100 kenderaan musnah serius akibat bahang yang melampau.
Menurut Zainuddin, dirinya hanya mampu reda dengan kehilangan harta tersebut dan bersyukur masih selamat dari tragedi kebakaran tersebut.
“Semua rumah sewa itu adalah sumber pendapatan saya. Sekarang saya hilang segala-galanya.
“Walaupun kehilangan tersebut amatlah besar bagi saya, tetapi saya masih bersyukur dipanjangkan usia untuk bernafas di dunia ini”, katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, kebakaran yang berlaku begitu pantas sehingga tidak memberi peluang untuknya menyelamatkan sebarang barang berharga atau dokumen penting.
“Apabila saya mendengar bunyi letupan kebakaran tersebut, saya terus bergegas untuk memberitahu kepada ahli keluarga yang lain untuk berlari keluar daripada rumah.
“Saya tidak sempat untuk mengambil sebarang dokumen seperti sijil lahir dan sebagainya, kerana apa yang ada di dalam fikiran saya hanyalah untuk menyelamatkan diri dan keluarga,” katanya.
Selain kehilangan sumber pendapatan, Zainuddin juga berhadapan dengan trauma akibat tragedi itu.
“Bahang kebakaran tersebut amatlah panas sehingga saya terpaksa menutup kepala saya dengan baju. Kesan bahang tersebut meninggalkan parut luka di belakang badan saya ketika ingin cuba melarikan diri,” katanya dengan nada sedih.
Katanya, buat masa sekarang dia menetap di rumah anaknya di Seksyen 10, Shah Alam sambil menunggu ahli keluarganya seramai tiga orang yang masih menerima rawatan di hospital.
Kebakaran yang dipercayai berpunca daripada letupan saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni itu telah menyebabkan kemusnahan besar.
Menurut laporan pihak berkuasa, seramai 305 orang menjadi mangsa dengan kebanyakannya mengalami kecederaan akibat melecur serta tersedut asap panas. – UTUSAN