SHAH ALAM: Siasatan polis bagi mengesan sebarang tindakan khianat atau berunsur jenayah berhubung tragedi letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya berakhir dan akan dimaklumkan perinciannya pada minggu depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, siasatan tersebut akan dibentangkan oleh polis bagi makluman masyarakat dan jawatankuasa yang seterusnya untuk membuat tindakan lanjut.
“Ia bagi memastikan siasatan yang terbaik dan telus dilaksanakan. Manakala Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) turut melakukan siasatan sejak hari pertama dan ia semakin giat dilaksanakan.
“Justeru beberapa penutupan jalan sebelum ini untuk kawasan siasatan akan dihapuskan dan kita akan benarkan jalan-jalan tertentu dibuka. Hanya pos kawalan hadapan di kawasan bencana akan dikekalkan supaya kita dapat kawal dan membenarkan pihak seperti JKKP dan jabatan teknikal lain melakukan siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, beliau menganggarkan tempoh sebulan diperlukan oleh JKKP dari sekarang untuk memuktamadkan laporan siasatannya yang dijangka dibentangkan dalam Kabinet atau Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Kata Amirudin, selepas siasatan, kerajaan negeri akan menilai semula jajaran paip gas di negeri ini termasuk mendapatkan pandangan daripada pihak berkuasa yang dilantik untuk mengenal pasti langkah dan tahap keselamatan penduduk di kawasan terlibat.
“Kita akan melantik pula jawatankuasa panel bebas untuk menilai kedua-dua siasatan (polis dan JKKP) tersebut dan mencadangkan kepada kerajaan supaya peristiwa tidak kembali berulang.
“Ini kerana kita (Selangor) mempunyai jajaran paip gas dan kawasan berisiko lain seperti jajaran kabel bervoltan tinggi, paip air bertekanan tinggi dan sebagainya untuk mengetahui prosedur lanjut yang boleh ditawarkan bagi mengelakkan insiden (seperti di Putra Heights) daripada berulang,” ujarnya.
Jelas Amirudin lagi, penilaian tersebut akan berlangsung dalam tempoh sebulan dari sekarang sebelum pihak berkenaan dapat mencapai kesimpulan terbaik.
Terdahulu, letupan paip gas dekat Jalan Putra Harmoni kira-kira pukul 8 pagi pada 1 April lalu itu menyebabkan lebih 500 penduduk terjejas selain lebih 200 rumah dan kenderaan rosak berikutan haba panas daripada api yang menjulang di kawasan tersebut.
Kesemua penduduk terjejas kemudian diarah berpindah ke dua Pusat Penempatan Sementara (PPS) di kawasan berhampiran apabila kediaman mereka tidak selamat untuk diduduki. – UTUSAN