PETALING JAYA: Lebih 100 orang penduduk Kampung Kuala Sungai Baru yang terjejas dalam insiden letupan paip gas di Putra Heights bakal memfailkan saman terhadap kerajaan negeri Selangor dan syarikat Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dalam masa terdekat.
Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, Badly Nordin berkata, penduduk sudah melantik peguam dan kini dalam fasa akhir penyediaan dokumen sebelum tindakan saman difailkan ke mahkamah.
“Kami sudah lantik peguam, semua maklumat penduduk dah dikumpul dan sekarang tunggu peguam siapkan fail saman,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Menurut Badly, peguam yang dilantik turut menjalankan tinjauan teknikal bersama jurutera bagi menentukan anggaran jumlah tuntutan pampasan dan ganti rugi.
Katanya, tindakan saman itu difailkan secara berasingan daripada persatuan penduduk lain kerana setiap persatuan melantik peguam yang berbeza.
“Proses ini makan masa sikit sebab peguam perlu buat penilaian, kira pampasan ikut kerosakan sebenar dan perancangan kami adalah failkan saman dalam bulan November.
“Fokus kami adalah dapatkan pampasan dan membela nasib mangsa yang terkesan. Petronas dan kerajaan negeri adalah pihak paling penting dalam tuntutan ini,” katanya.
Sementara itu, wakil penduduk, Sabry Nordin berkata, saman tersebut merupakan ‘saman teladan’ untuk kerajaan negeri dan Petronas bagi penduduk menuntut ganti rugi akibat kecuaian dalam menangani insiden paip gas berkenaan.
“Petronas ada sistem canggih, tapi macam mana boleh meletup? Itu yang kami persoalkan dan kerajaan negeri pula perlu jawab bagaimana projek perumahan itu boleh diluluskan dekat dengan paip gas,” katanya.
Tambah Sabry, Petronas sebelum ini pernah menghantar wakil peguam dan memaklumkan penduduk boleh membuat tuntutan kerosakan namun mereka dinasihatkan supaya menunggu proses undang-undang berjalan bagi mengelakkan risiko pampasan ditolak. – UTUSAN










