Tragedi Putra Heights: Masih ada yang belum terima bantuan

Tragedi Putra Heights: Masih ada yang belum terima bantuan

Bantuan Putra Heights
MOHD. Badly Nordin (dua, kanan) ditemui pemberita pada sidang akhbar dekat Kampung Kuala Sungai Baru, di Subang Jaya, Selangor, hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Terdapat penduduk Kampung Kuala Sungai Baru yang menjadi mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada April lalu mendakwa masih belum menerima sebarang bantuan termasuk sewa rumah daripada kerajaan negeri.

Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru (KKSB), Mohd. Badly Nordin berkata, pihaknya masih menerima aduan daripada penduduk, namun sudah pun mengajukannya kepada ketua kampung.

Menurutnya, bagaimanapun pihaknya tidak mempunyai maklumat terperinci berkenaan jumlah mangsa yang masih belum mendapat bantuan berkenaan.

“Ketua kampung menjelaskan kerajaan negeri sedang membuat bancian, iaitu menyemak berapa ramai mangsa yang sudah tinggal semula di rumah. Katanya akan ambil masa sedikit untuk buat bancian ini.

“Selepas bancian selesai, kerajaan negeri akan beri duit bantuan ini, dengan duit rumah sewa ini dimasukkan terus ke dalam akaun bank mangsa. Ada mangsa yang dapat bantuan ini. Tetapi, amaun yang mereka dapat berbeza-beza,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kira-kira 150 keluarga yang terbabit dalam tragedi kebakaran paip gas itu mula menerima bantuan sewa rumah daripada kerajaan Selangor.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, setiap keluarga menerima bantuan sewa rumah selama tiga bulan berjumlah RM6,000.

Mohd. Badly berkata, selain isu bantuan, turut dibangkitkan adalah desakan supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji semula punca tragedi letupan paip gas itu selepas majoriti mendakwa keputusan siasatan daripada jawatankuasa teknikal pada bulan lalu tidak masuk akal.

“Kalau (pihak penyiasat) menyatakan (kejadian berpunca daripada) kelemahan struktur tanah, kenapa tidak ada unsur kecuaian dikaitkan dalam laporan itu. Hasil laporan siasatan menyatakan tiada unsur kecuaian dan tiada unsur jenayah.

“Tetapi, tidak ada sekurang-kurangnya (sebab kejadian berlaku) akibat kecuaian yang disebabkan kelemahan tanah dan kegagalan sambungan kimpalan. Jadi kami mohon siasatan dijalankan semula dan RCI ditubuhkan supaya ada semak dan imbang dari segi laporan (siasatan) yang dikeluarkan sebelum ini,” jelasnya.

Katanya lagi, mangsa turut mempersoalkan kegagalan pihak berkaitan yang tidak mengesan perubahan pada keadaan tanah sehingga paip tersebut tidak dapat disokong, lantas mengakibatkan kebakaran.

“Kegagalan pihak berkaitan ini adalah satu kecuaian besar dan sepatutnya pihak tersebut dikenakan tindakan undang-undang setimpal. Kami turut kesal kerana pihak berkuas telah mengklasifikasikan kes ini sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Sehubungan itu, kami minta pihak berkuasa menimbang semula. Adakah tiada penyelenggaraan tanah dan kegagalan sambungan kimpalan seperti yang dilaporkan dalam laporan siasatan bukan satu bentuk unsur kecuaian?” soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN