PETALING JAYA: Genap sembilan bulan bergelar isteri, penyanyi, Sarah Suhairi mengakui dirinya kini sudah mula diasak dengan soalan mengenai zuriat.
Menurut Sarah, selain menyerahkan perkara itu pada takdir, dia tidak mengambil hati jika sesetengah pihak bertindak di luar jangkaan sehingga mengusap perutnya.
“Baru saya faham ertinya bila kerap disoal tentang zuriat. Sebelum ini ramai yang bertanya tapi saya hanya minta mereka mendoakan yang terbaik sahaja.
“Ada juga ibu saudara yang datang mengusap perut saya sewaktu beraya di kampung tetapi saya percaya kalau ada rezeki tidak akan ke mana.
“Saya pun tidak ambil hati pun dengan tindakan seperti itu mungkin kerana masih awal. Jadi saya anggap itu hanyalah gurauan,” katanya.
Sarah berkongsi perkara itu ketika ditemui majlis Rumah Terbuka Ritma Riang Raya 2025 Rusa MVM Music, pada Selasa.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Sah itu memaklumkan dirinya masih merancang namun, dia terbuka untuk menyambut kehadiran cahaya mata sekiranya rezeki itu hadir lebih awal.
“Sekarang saya masih merancang. Tetapi, kalau tiba-tiba melekat saya dan suami tidak menolak. Terserah pada Tuhan Itu rezeki. Ada orang selepas berkahwin terus mahu zuriat.
“Kalau Allah betul-betul nak bagi, Dia bagi. Allah tahu kalau kita sudah bersedia atau belum. Buat masa sekarang saya nikmati dulu momen berdua,” jelasnya.
Sarah juga sempat menitipkan doa kepada pasangan yang sedang sudah lama menantikan cahaya mata agar segala urusan mereka dipermudahkan.
Terdahulu, Sarah sah bergelar isteri kepada seorang pensyarah, Aswad Anuar pada 26 Julai tahun lalu.-UTUSAN