JOHOR BAHRU : Gara-gara mengelak babi hutan melintas, seorang remaja maut manakala rakannya cedera selepas motosikal dinaiki dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Sungai Tiram, Bandar Tiram, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi itu, pembonceng motosikal jenis Demak EX 90 itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kemalangan tersebut berlaku semasa sebuah Toyota Avanza dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun memandu dari arah Jalan Sungai Tiram menghala ke Bandar Tiram.
“Sampai di tempat kejadian, tiba-tiba muncul seekor babi hutan liar melintas menyebabkan pemandu tersebut terkejut dan mengelak ke kanan jalan hingga masuk lorong bertentangan.
“Tindakan pemandu itu telah melanggar sebuah motosikal dinaiki dua mangsa yang masing-masing berusia 15 tahun,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut penunggang motosikal mengalami cedera parah dan dibawa ambulan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.
“Pembonceng motosikal itu pula mengalami cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Toyota Avanza tidak cedera,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambahnya, sebarang maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk membantu siasatan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor B. Sarveshwaaran 012-2612949.-UTUSAN