Rakyat Melaka berdukacita pemergian Tun Abdullah 

Rakyat Melaka berdukacita pemergian Tun Abdullah 

ABDULLAH AHMAD BADAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh menyifatkan pemergian Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) malam tadi, sebagai satu kehilangan besar buat negara dan seluruh rakyat Malaysia.

Menurutnya, beliau mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan kepada ahli keluarga, didoakan agar mereka dikurniakan ketabahan dan kekuatan untuk menghadapi ujian ini.

Beliau berkata, sepanjang menerajui kepimpinan negara dari 2003 hingga 2009, Allahyarham telah mencurahkan khidmat bakti yang amat besar dalam memacu pembangunan negara, khususnya bidang pentadbiran, pendidikan dan hubungan antarabangsa.

Katanya, selain itu, Allahyarham juga pernah menjawat jawatan sebagai Presiden UMNO Keenam, menerajui parti dan negara dengan penuh dedikasi, integriti serta iltizam yang tinggi.

“Di bawah kepemimpinan beliau, pelbagai pembaharuan dan inisiatif telah diperkenalkan, termasuk penekanan terhadap prinsip perpaduan nasional dan kemakmuran bersama.

“Antara legasi penting yang ditinggalkan oleh Tun Abdullah ialah gagasan Islam Hadhari, sebuah pendekatan progresif yang menekankan keseimbangan antara pembangunan material dan spiritual.

“Gagasan ini memperkukuh nilai-nilai Islam dalam kehidupan masyarakat Malaysia, di samping memperkasakan pembangunan ekonomi, pendidikan dan teknologi negara,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Allahyarham akan terus dikenang sebagai seorang pemimpin yang bersifat sederhana, berwawasan dan teguh dalam memperjuangkan keadilan serta kebenaran.

Jelasnya, di bawah kepimpinan Tun Abdullah, negara mencatatkan pelbagai kejayaan dan pencapaian yang berimpak tinggi termasuk pendekatan beliau yang lebih terbuka dalam isu reformasi dan pembangunan sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN