KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menggesa kerajaan agar mengambil tindakan undang-undang yang tegas dan segera terhadap mana-mana pihak yang didapati menghina Jalur Gemilang.
Setiausaha Agungnya, Danial Farhan Zainul Rijal berkata, penyalahgunaan bendera rasmi negara, sama ada dalam bentuk yang tidak lengkap, diubah suai atau berunsur penghinaan, bukan sahaja mencemarkan identiti nasional, malah menggugat maruah negara secara keseluruhan.
“Tindakan tegas perlu diambil oleh kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi berkaitan tanpa rasa takut atau pilih kasih.
“Isu ini bukan perkara kecil kerana melibatkan simbol negara yang menjadi lambang kedaulatan dan perpaduan rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Danial, PPMM percaya wujud elemen niat (mens rea) terhadap insiden-insiden yang telah berlaku sama ada dalam bentuk kesengajaan, kecuaian melampau atau pengetahuan terhadap penggunaan Jalur Gemilang.
“Ini bukan sekadar kesilapan teknikal, tetapi mencerminkan kelalaian serius yang boleh menjurus kepada niat untuk memperlekehkan simbol kebangsaan.
“Kami menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk menentukan kewujudan mens rea tersebut namun kerajaan hendaklah memulakan tindakan dengan mendakwa mana-mana media cetak, individu, pertubuhan atau agensi yang memaparkan bendera yang tidak lengkap atau diubahsuai,” katanya.
Mengulas lanjut, Danial berkata, kerajaan mempunyai kuasa penuh untuk bertindak berdasarkan beberapa peruntukan undang-undang sedia ada seperti di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), terutamanya Seksyen 6(2) dan Seksyen 13(1) yang membolehkan permit penerbitan digantung atau dibatalkan.
“Terdapat juga Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Akta 414) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1,000 terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang berkaitan penggunaan Jalur Gemilang.
“Undang-undang ini mesti digunakan secara adil dan konsisten. Kita tidak mahu simbol negara dijadikan bahan eksperimen kreatif atau permainan persepsi,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, PPMM turut menggesa kerajaan dan masyarakat memperhebatkan pendidikan sivik serta pemahaman mengenai etika penggunaan Jalur Gemilang dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda.
“Sekolah, media dan platform digital perlu memainkan peranan utama untuk mendidik rakyat agar lebih menghargai dan menghormati simbol kebangsaan,” katanya. – UTUSAN