KUALA LUMPUR: Polis sudah membuat persiapan rapi menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) di sini, malam ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya telah menyusun perancangan rapi bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya tidak terjejas sepanjang acara tersebut berlangsung.
“Pihak Trafik Kuala Lumpur telah bersiap sedia sepenuhnya. Pegawai dan anggota akan ditempatkan di kawasan-kawasan yang dikenal pasti akan berlaku kesesakan lalu lintas,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 anjuran JSPT Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, semalam.
Mohd. Yusri berkata, beberapa penutupan jalan akan dilaksanakan sebagai langkah kawalan lalu lintas menuju ke stadium.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk mematuhi arahan anggota trafik serta sentiasa mengikuti hebahan rasmi di media bagi melancarkan perjalanan mereka ke lokasi perlawanan,” jelasnya.
Juara Liga Super dan Piala FA, JDT berazam menutup kempen musim ini dengan penuh bergaya apabila turun menentang Sri Pahang dalam aksi final Piala Malaysia di SNBJ.
Kali terakhir JDT dan Sri Pahang bertemu di pentas final Piala Malaysia pada 2014, yang menyaksikan skuad Tok Gajah muncul juara menerusi penentuan penalti 5-3 selepas terikat 2-2.-UTUSAN