KUALA TERENGGANU: Pasar Borong Gong Pauh yang terkenal sebagai pusat pengedaran hasil tani dan makanan laut di daerah ini bakal muncul dengan wajah baharu selepas kerja-kerja menaik tarafnya yang diluluskan kerajaan siap kelak.
Pasar borong berusia lebih 25 tahun itu menerima peruntukan sebanyak RM15 juta daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk kerja-kerja menaik taraf yang membolehkannya muncul lebih moden dan tersusun sekali gus memberi keselesaan kepada pengunjung serta peniaga di situ.
Ketika ini, projek berkenaan di tahap penilaian reka bentuk yang menampilkan lima peserta terbaik sebelum dilaksanakan.
Seorang pengunjung, Salmah Busu, 50, berkata, sejak sekian lama pasar borong itu menjadi tumpuan orang ramai mendapatkan pelbagai barangan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, makanan laut dan produk tempatan.
“Saya harap projek ini dapat segera disiapkan untuk keselesaan semua pihak sekali gus berfungsi dengan lebih efisien. Pasar ini sentiasa menjadi tumpuan peniaga dan pembeli yang ingin mendapatkan barangan segar dalam kuantiti borong pada harga lebih murah,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, KPKT meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi menaik taraf Pasar Borong Gong Pauh pada November 2024.
Katanya, pasar itu memainkan peranan penting dengan menjadi nadi utama bagi para petani, nelayan, peniaga kecil dan peruncit yang bergantung kepadanya sebagai pusat agihan hasil tani serta barangan keperluan harian.-UTUSAN.










