Anggun Suri bantu pasangan muda

Anggun Suri bantu pasangan muda

AIDIL Abdul Rahman dan Najihal Wan Adnan disatukan menerusi Program Anggun Suri (Kahwin Beramai-ramai) tajaan kerajaan Pahang di Maran, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Lima pasangan muda bersyukur kerana hasrat mendirikan rumah tangga menjadi kenyataan menerusi Program Anggun Suri (Kahwin Beramai-ramai) tajaan kerajaan negeri Pahang.

Program itu bertujuan membantu pasangan muda dan berpendapatan rendah melangsungkan perkahwinan dengan kos yang jauh lebih rendah tanpa perlu meminjam atau berhutang.

Taufik Hisam, 28, dari Taman Jengka Makmur yang disatukan dengan Aini Dahari, 27, bersyukur kerana impian mereka mendirikan rumah tangga tercapai de­ngan kos yang menjimatkan.

“Di sini semua ditaja. Siap ada pelamin, makan beradab dan jamuan tetamu. Wang selebihnya bolehlah kami simpan untuk masa depan,” katanya ketika ditemui pada majlis yang diadakan di Dewan Balora Mastika, Bandar Tun Abdul Razak Jengka di sini.

Melalui inisiatif Anggun Suri, semua perbelanjaan utama termasuk sewaan dewan, pelamin, makan beradab, jamuan untuk 100 tetamu, persembahan serta buah tangan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Pahang.

Pasangan dari Felda Jengka, Aidi Abdul Rahman, 23, dan Najihah Wan Adnan, 21, pula menyifatkan peluang menyertai program Anggun Suri sebagai rezeki tidak disangka.

“Inisiatif ini sangat membantu kami yang berpendapatan rendah. Beban perbelanjaan berkurangan dan urusan pun dipermudah. Terima kasih kepada Menteri Besar dan semua pihak yang prihatin dengan nasib pasangan muda,” ujar Aidi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Redzuan Zaaba berkata, inisiatif tersebut menggambarkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesejahteraan rakyat khususnya pasangan muda yang ingin membina ke­luarga.

“Program seperti ini bukan sahaja menjimatkan kos perkahwinan tetapi mendidik generasi muda supaya berani membina kehidupan baharu berlandaskan nilai kekeluargaan dan Islam,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN