PETRA peruntuk RM61 juta baik pulih pantai Batu Ferringhi

PETRA peruntuk RM61 juta baik pulih pantai Batu Ferringhi

AKMAL Nasrullah Mohd Nasir (dua dari kanan) ketika membuat tinjauan hakisan pantai di jeti Unit Nelayan Paramount, George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/ISWAN SHAFIQ ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memperuntukkan sebanyak RM61 juta bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih kawasan pantai sepanjang 7 kilometer dari Batu Ferringhi ke Tanjung Bungah di sini dilaksanakan.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, langkah itu diambil memandangkan masalah hakisan di kawasan tersebut dilihat semakin menjadi-jadi ketika ini sehingga menjejaskan aktiviti pelancongan serta harian di situ.

“Apabila kita (pihak kementerian) turun padang untuk melihat sendiri keadaan pantai ini, ternyata masalah hakisan yang berlaku semakin teruk sehingga menyebabkan pelbagai aktiviti di tepi-tepi pantai sukar untuk dijalankan.

“Jadi, kita akan melihat konsep pemulihan yang boleh dibuat sepanjang kawasan itu terlebih dahulu sebelum memulakan kerja bagi memastikan reka bentuknya tidak menjejaskan tarikan di pantai berkenaan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas membuat tinjauan hakisan pantai di jeti Unit Nelayan Paramount di sini. Hadir sama Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang, Ooi Soon Lee.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, kerja-kerja pemulihan itu dijangka bermula tahun ini juga sebaik sahaja reka bentuk serta konsep kerja yang berkaitan dilulus dan dimuktamadkan.

Jelasnya, projek tersebut termasuk kerja-kerja menambah pasir serta pembinaan sistem saliran keluar bagi melancarkan aliran air dari sungai ke laut dijangka siap dalam tempoh enam tahun di bawah Pelan Rolling Kelima, Rancangan Malaysia Ke-12.

Akmal Nasrullah berkata, pembinaan sistem saliran keluar itu juga dianggap penting kerana tiga sungai utama iaitu Sungai Mas, Sungai Kechil dan Sungai Kelian yang mengalirkan airnya terus ke laut di sini dikatakan turut menyumbang kepada isu hakisan yang serius.

“Keadaan ini jika terus dibiarkan boleh mengancam keselamatan awam terutamanya penduduk serta pelancong,” katanya yang memberitahu, hampir semua projek pemulihan itu akan dikendalikan oleh JPS.

Media sebelum ini melaporkan bahawa isu hakisan khususnya di sepanjang pantai Batu Ferringi bukanlah baharu, namun, masalah tersebut dilihat semakin meruncing dan membimbangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Lebih menyedihkan, beg-beg pasir yang sebelum ini digunakan sebagai benteng pemecah ombak kini dibiarkan berselerak di sepanjang pesisir pantai dan tebing-tebing konkrit yang pecah juga tidak dibaiki sehingga mengganggu pemandangan di situ.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN