GEORGE TOWN: “Kami sangat bersyukur anak kami terpilih untuk menjalani pembedahan secara percuma dan berharap lebih ramai lagi kanak-kanak mendapat manfaat yang sama.”
Begitu luahan Noor Izzatie Mohamad Yusoff, 37, yang juga ibu kepada salah seorang daripada peserta Miracle Baby Programme (MBP), Noor Izz Medhina Muhamad Samsuri, empat tahun yang menerima manfaat menerusi program berkenaan yang dilaksanakan di Hospital Pulau Pinang (HPP) sebelum ini.
Noor Izzatie berkata, anaknya mengalami masalah jantung berlubang sejak lahir dan masalah kesihatan anaknya itu dapat diatasi menerusi program MBP yang diperkenalkan khusus untuk membantu bayi dan kanak-kanak penghidap penyakit jantung kongenital (CHD).
Tambah istimewa, katanya, mereka tidak perlu membayar sebarang kos selepas anaknya terpilih menyertai MBP dan menjalani pembedahan yang ditaja penuh pada 2022.
“Syukur semuanya ditaja ketika pembedahan pertama anak saya dijalankan pada 2022, dan kini selepas dibedah anak saya semakin sihat,” katanya selepas menghadiri majlis perasmian MBP (misi kedua) itu di HPP di sini, hari ini.
Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis perasmian MBP tersebut di HPP. Tuanku Zara diiringi oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.
MBP sebelum ini diasaskan oleh Canselor Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Tun Dr. Ling Liong Sik, dan kini memasuki misi kedua pelaksanaannya.
Melalui kerjasama erat antara HPP, UTAR dan Hospital Sri Sathya Sai Sanjeevani (SSSSH) dari India, program ini dijangka memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 20 bayi dan kanak-kanak tahun ini.
Seorang lagi peserta program MBP, Eisya Marzuki, 19, turut berpeluang mendapat tempat dalam program tersebut dan menjalani pembedahan merawat penyakit jantung berlubang pada usia 16 tahun selepas bertahun-tahun menjalani rawatan susulan.
Ibunya, Siti Norazidah Mohd Hamzah, 44, berkata, mereka hanya mengetahui tentang program itu setelah diberi penerangan oleh doktor di HPP.
“Eisya kerap letih dan kami tidak boleh tunggu lagi kerana bimbangkan keadaan kesihatannya. Kami amat bersyukur pembedahan berjaya dan berharap lebih ramai lagi dapat manfaat dari program MBP,” katanya.
Program MBP juga membawa sinar buat Iris Sim, 11, yang disahkan menghidap penyakit jantung sejak dilahirkan. Ibunya, May Yap, 39, berkata mereka telah menunggu selama lapan tahun sebelum akhirnya Iris terpilih untuk menjalani pembedahan melalui MBP pada November 2022.
“Saya sangat gembira bila ditanya sama ada mahu sertai program ini. Mula-mula memang risau, tapi doktor yakinkan kami. Kami hanya tunggu seminggu dua sahaja sebelum pembedahan dijalankan di HPP,” katanya. – UTUSAN