Pelaburan asing bukan penyelamat

Pelaburan asing bukan penyelamat

SEBAHAGIAN besar pelaburan asing hanya menjadikan Malaysia sebagai tempat pemasangan komponen, bukan pusat inovasi. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA merupakan negara membangun yang mempunyai potensi besar dalam pelbagai sektor ekonomi. Namun, sejak beberapa dekad lalu, pendekatan ekonomi negara terlalu bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI) sebagai tonggak pertumbuhan.

Saban tahun, kerajaan memperkenalkan pelbagai insentif dan kemudahan untuk menarik masuk pelaburan asing, daripada pelepasan cukai hingga kepada pemberian tanah dan kelulusan ekspres. Malangnya, strategi ini tidak lagi relevan dalam landskap ekonomi global yang semakin kompetitif dan tidak menentu.

FDI penting untuk sesebuah negara membangun, khususnya dalam fasa awal pembangunan. Ia membawa masuk modal, teknologi dan kepakaran baharu ke dalam ekonomi negara. Namun, pergantungan yang keterlaluan akan mewujudkan ekonomi yang bersifat ‘menumpang’ tanpa pembangunan akar umbi yang kukuh.

Negara terdedah risiko apabila syarikat multinasional membuat keputusan untuk berpindah ke negara lain yang menawarkan kos buruh lebih murah atau dasar cukai lebih menguntungkan.

Lebih membimbangkan, sebahagian besar pelaburan asing hanya menjadikan Malaysia sebagai tempat pemasangan komponen, bukan pusat inovasi. Hasilnya, negara terus kekal dalam perangkap pendapatan pertengahan tanpa kemajuan ketara dalam keupayaan inovasi atau penciptaan teknologi sendiri. Kita hanya menjadi pengguna teknologi, bukan pencipta. Hal ini membantutkan pertumbuhan industri tempatan dan menyekat perkembangan bakat anak tempatan.

Dalam masa sama, kita sering melihat pemimpin negara silih berganti mengadakan lawatan kerja ke luar negara kononnya untuk menarik pelaburan asing. Tidak dinafikan, diplomasi ekonomi itu perlu, tetapi apabila terlalu kerap menjadi tajuk utama media, ia memberi isyarat seolah-olah kita masih belum yakin dengan kekuatan pelaburan dalam negara sendiri.

Sudah tiba masanya kerajaan memberi tumpuan lebih serius kepada pelaburan domestik. Malaysia mempunyai ramai usahawan muda, syarikat tempatan yang berpotensi besar dan institusi penyelidikan yang mampu menghasilkan teknologi berimpak tinggi. Namun, akses kepada pembiayaan, sokongan dasar yang konsisten, serta insentif untuk mengeksport produk buatan Malaysia masih belum menyeluruh. Banyak syarikat kecil dan sederhana (PKS) masih bergelut dengan kerenah birokrasi, ketidakpastian dasar dan kekangan modal.

Jika kita benar-benar serius mahu menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar untuk pasaran dunia, strategi mesti disusun semula. Kerajaan perlu membina ekosistem yang menyokong inovasi, memperkukuh jaringan logistik dan memastikan kebolehcapaian pasaran antarabangsa bagi syarikat tempatan. Model hasilkan secara tempatan, jual secara global mesti diangkat menjadi agenda nasional, bukan sekadar slogan retorik.

Negara-negara seperti Korea Selatan, China dan Vietnam membuktikan pelaburan domestik yang strategik mampu melahirkan syarikat bertaraf dunia. Kita sepatutnya mencontohi kejayaan ini, bukan terus terperangkap dalam mentaliti ‘Malaysia tidak mampu’.-UTUSAN

NADIA ABDUL RASHID
Alam Impian,
Shah Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN