JOHOR BAHRU: Permohonan penduduk Kampung Melayu Majidee, di sini menukar status Tanah Rizab Melayu (TRM) pajakan negeri 99 tahun kepada hak milik kekal wajar diberikan pertimbangan.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, ini mengambil kira kepentingan dan kedudukan Kampung Melayu Majidee yang berada di bandar raya Johor Bahru.
“Sebab itu, perkara ini perlu diberikan perhatian sewajarnya agar kerajaan negeri dapat mencari formula yang membolehkan kebajikan dan kependudukan orang asal atau pemilik tanah kekal di kawasan mereka.
“Selain itu, ia membolehkan perancangan negeri itu dapat diselaraskan sebaik mungkin tanpa mengenepikan hak dan kedudukan mereka di bandar raya ini,” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Parlimen Johor Bahru, di sini semalam.
Sebelum ini media melaporkan, lebih 40,000 penduduk kampung tersebut kini dalam dilema setelah permohonan penukaran status TRM pajakan negeri 99 tahun kepada hak milik kekal kepada kerajaan negeri masih tidak berjawab.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik-pemilik Tanah dan Penduduk Kampung Melayu Majidee (Perkam), Abdul Rahim Md Shariff dilaporkan berkata, ini kerana tempoh pajakan hanya berbaki 28 tahun lagi dan akan berakhir pada 2053.
Jelasnya, jika tiada tindakan segera, penduduk berisiko kehilangan tanah pusaka yang diwarisi turun-temurun daripada nenek moyang mereka.
Akmal yang juga Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, usaha berkaitan status hak milik tanah ini juga penting kerana ia terdapat beberapa kawasan lain di bandar raya ini yang berstatus pajakan atau leasehold.
Katanya, antara kawasan lain yang mengalami isu sama ialah di Larkin di mana tempoh pajakan kini kurang daripada tempoh 50 tahun. – UTUSAN