KANGAR: Perlis mengemukakan 61 cadangan projek bernilai RM3.3 bilion untuk dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang bermula tahun depan bagi merancakkan ekonomi negeri dan memperkukuhkan sektor-sektor strategik.
Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli berkata, semua projek merangkumi pelbagai sektor penting, antaranya infrastruktur, pendidikan, pelancongan dan pertanian moden dengan semua cadangan dikemukakan kepada kerajaan Pusat melalui kementerian-kementerian berkaitan.
Katanya, cadangan projek yang dikemukakan adalah bagi memastikan aspirasi baharu negara di bawah RMK-13 dapat direalisasikan, sekali gus melonjakkan ekonomi Perlis ke tahap lebih cemerlang dan mampan.
“RMK-13 yang akan berlangsung dari tahun 2026 hingga 2030 diharap dapat memberi fokus kepada pengukuhan ekonomi negeri kecil seperti Perlis selain membangunkan infrastruktur, pendidikan, pelancongan serta memperkasa sektor pertanian moden.
“Kerajaan negeri mengharapkan agar semua cadangan ini diluluskan dan direalisasikan demi manfaat rakyat negeri Perlis yang tercinta. Kita juga sentiasa komited memperjuangkan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat,” katanya di sini semalam.
Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri juga telah mengadakan mesyuarat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin dan membentangkan lebih daripada 10 projek yang dipohon kepada kerajaan Pusat untuk dilaksanakan di Perlis.
Katanya, respon daripada Perdana Menteri amat positif dan boleh dikatakan semua kementerian berkaitan sudah sedia maklum mengenai projek-projek yang akan dibuat.
“Contohnya, infrastruktur di Pelabuhan Sanglang, kolam tebatan banjir di Chuping, itu yang utamalah. Kemudian, Sekolah Kebangsaan (SK) Chuping selain dikaitkan juga dengan sekolah sukan Perlis yang terganggu lama.
“Insya-Allah apabila Perdana Menteri sendiri yang menjawab soalan itu, kita rasa sekolah sukan itu akan siap secepat mungkin.
“Selain itu jalan empat lorong ke Padang Besar dan kita juga memohon dari kerajaan Pusat untuk naik taraf Tasik Melati, pagar di kawasan aliran bebas Wang Kelian dan parkir bertingkat,” katanya.
Mohd. Shukri berkata, dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi, sebuah kilang baru milik syarikat multinasional Jabil juga telah dirasmikan di Chuping oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail baru-baru ini.
“Ini adalah satu lonjakan positif untuk sektor ekonomi negeri selain kita berharap lebih banyak pelaburan dan projek berskala besar dapat dibawa masuk ke Perlis selepas ini,” katanya.-UTUSAN










