Perang dagang AS, China beri manfaat negara membangun

Perang dagang AS, China beri manfaat negara membangun

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pergolakan perdagangan global yang semakin meruncing antara Ame­rika Syarikat (AS) dan China dilihat sebagai pemangkin kepada perubahan besar dalam struktur kuasa ekonomi dunia.

China kini bukan sahaja menyaingi AS daripada aspek kekuatan ekonomi, malah mula mendominasi pelbagai sektor strategik di peringkat an­tarabangsa.

Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin berkata, perang tarif dan sekatan perdagangan yang dikenakan oleh AS terhadap China sebenarnya mempercepatkan kejatuhan pengaruh ekonomi AS di pentas global.

“Jika dahulu AS memegang peranan utama dalam perdagangan dunia, kini kedudukannya semakin goyah. Negara-negara besar seperti India, Jepun dan Russia menunjukkan kecenderungan untuk menjalin hubungan ekonomi yang lebih erat dengan China.

“Malah, negara-negara mem­bangun seperti Indonesia yang kini muncul sebagai pemain penting dalam forum global seperti G8 turut dilihat berpa­ling kepada China sebagai rakan strategik baharu.

Perkembangan ini memberi isyarat jelas tumpuan dunia sedang beralih dari barat ke timur.

“Ia juga dilihat sebagai permulaan kepada era dunia yang lebih seimbang, dengan kuasa timur memainkan peranan yang semakin penting dalam menentukan arah ekonomi dan geopolitik global,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia mampu berdikari dan berusaha untuk menghadapi kesan pelaksanaan tarif oleh AS termasuk meningkatkan potensi pasaran bersama rakan dagang seperti Brazil.

Dalam pada itu, Profesor Ekonomi Sunway University, Dr. Yeah Kim Leng berpandangan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara masih boleh dikekalkan melebihi paras empat peratus kerana negara-negara lain masih mengekalkan tahap pengeluaran dan penggunaan domestik mereka.

Jelasnya, ini sedikit sebanyak dapat mengimbangi kelembapan ekonomi yang mungkin berlaku di AS.

“Walaupun mungkin berlaku pengurangan sebanyak 0.5 hingga 1 mata peratusan terhadap unjuran KDNK – yang kini berada dalam lingkungan 4.5 hingga 5.5 peratus – kita masih boleh berada dalam julat pertumbuhan 4 hingga 5 peratus.

“Ini bermakna, kita akan berada di paras bawah unjuran semasa, berbanding lebih 5 peratus sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, kesan perang perdagangan terhadap kebanyakan negara dianggarkan sekitar 0.5 hingga 1 peratus kepada pertumbuhan KDNK.

Namun, bagi Malaysia, katanya, jika penggunaan dan pelaburan domestik kekal kukuh, kelembapan ekonomi yang ketara masih boleh di­elakkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN