Penolong jurutera, suami direman kes minta, terima rasuah RM15,000 

Penolong jurutera, suami direman kes minta, terima rasuah RM15,000 

SEORANG penolong jurutera dan suaminya direman lima hari bagi membantu siasatan selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM15,000 daripada syarikat pemaju.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang penolong jurutera sebuah kementerian dan suaminya direman lima hari bagi membantu siasatan selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM15,000 daripada syarikat pemaju.

Difahamkan ia sebagai dorongan untuk mendapatkan dokumen berkaitan projek perumahan di sebuah daerah di negeri Selangor.

Perintah reman terhadap pasangan suami isteri berusia lingkungan 30-an dan 40-an itu dikeluarkan Majistret Nurul Saqinah Rosli bermula hari ini sehingga 3 Mei depan

Ia selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Jenayah 1 di sini.

Menurut sumber,  kedua-dua suspek telah ditahan sekitar pukul 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan.

“Dalam kes ini suami kepada suspek utama (penolong jurutera) dipercayai bersubahat bersama meminta suapan berjumlah sekitar RM15,000 sejak Februari hingga April 2024.

“Suspek disyaki menerima wang rasuah daripada syarikat pemaju terbabit secara tunai dengan dua kali bayaran,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi  mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN