PETALING JAYA: Kegiatan skim penipuan pelaburan ‘Ponzi Scheme’ atau Pelaburan MBI yang berpusat di negara jiran tumpas selepas sitaan dan pembekuan aset bernilai RM3.17 bilion dilakukan hasil penahanan lapan individu termasuk empat bergelar Datuk bulan lalu.
Tindakan rentas negara pada 20 Mac lalu itu dilaksanakan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla) Urus Setia Ketua Polis Negara Bukit Aman menerusi Op Northern Star hasil maklumat ‘red notice’ daripada Polis Antarabangsa (Interpol).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, lapan warga tempatan termasuk seorang wanita yang ditahan berusia 44 hingga 62 tahun.
Katanya, antara yang ditahan termasuk dua usahawan dan dua peguam bergelar Datuk.
“Menerusi beberapa siri serbuan itu, Pasukan Amla berjaya melaksanakan pembekuan dan sitaan aset di bawah Seksyen 44(1) serta Seksyen 45(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001 berjumlah RM3.17 bilion.
“Antara aset yang dirampas dan dibekukan adalah 638 akaun bank dan akaun saham berjumlah RM1,160,166,195.74 serta 35 unit hartanah dianggar bernilai RM2,005,900,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 10 buah kenderaan mewah selain jam tangan mewah (13 utas) dan wang tunai pelbagai mata wang asing dan Ringgit Malaysia, dua unit barang kemas, enam telefon bimbit, dua komputer riba, empat beg tangan mewah serta pelbagai dokumen penting.
Tambah beliau, semua harta dan barangan terbabit dipercayai merupakan hasil perolehan haram berkaitan aktiviti penipuan pelaburan berkenaan.
Tegas Razarudin, kesemua suspek telah direman antara satu hingga tujuh hari untuk siasatan lanjut.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneruskan siasatan terhadap mana-mana individu atau entiti yang disyaki terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memperoleh, menerima, memiliki, menyembunyikan, memindahkan, mengubah, menukar, membawa masuk atau keluar, menggunakan atau melupuskan hasil perolehan haram daripada aktiviti penipuan pelaburan terbabit.
“Dalam usaha membanteras jenayah pengubahan wang haram di negara ini, PDRM menasihatkan masyarakat agar berwaspada dengan sebarang aktiviti mencurigakan,” jelasnya.
Tambah beliau, mana-mana individu mempunyai maklumat diminta tampil bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah ini. – UTUSAN