Sekat pekerja asing jejaskan daya saing – MEF

Sekat pekerja asing jejaskan daya saing – MEF

SYED HUSSAIN SYED HUSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cadangan mengehadkan pengambilan pekerja asing bagi melaksanakan dasar gaji wajar perlu dilakukan secara berhati-hati dan mengikut realiti sektor yang terlibat.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, masih banyak sektor kritikal yang bergantung kepada pekerja asing untuk melaksanakan kerja-kerja asas kerana kurang penglibatan rakyat tempatan.

Katanya, cadangan untuk melaksanakan gaji wajar serentak dengan pengurangan pekerja asing akan meningkatkan kos buruh secara mendadak, sekali gus menjejaskan daya saing syarikat tempatan di peringkat serantau.

“Sekatan mengejut pengambilan pekerja asing boleh menjejaskan operasi harian dan produktiviti syarikat, serta mengganggu rantaian bekalan negara.

“Penetapan gaji wajar yang lebih tinggi daripada kadar pasaran semasa akan meningkatkan kos upah keseluruhan. Ini memberi tekanan khas kepada PMKS yang beroperasi dengan margin keuntungan yang nipis,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Syed Hussain berkata, pendekatan terlalu umum tanpa fleksibiliti juga akan memaksa majikan sehingga menyebabkan pelaksanaan tergesa-gesa walaupun belum bersedia dari segi modal dan kemahiran. 

Katanya, isu sebenar bukanlah kebergantungan semata-mata kepada tenaga kerja asing, tetapi minat rendah dalam kalangan pekerja tempatan terhadap kerja-kerja berintensifkan fizikal dan tidak ‘popular’ seperti pekerjaan 3D (kotor, bahaya dan sukar).

“Majikan akan terpaksa mengurangkan jumlah pekerja atau mempercepatkan penggunaan automasi, bukan kerana kesiapsiagaan teknologi, tetapi demi kelangsungan operasi.

“Pekerjaan 3D sering dianggap sebagai kerja rendah status atau sementara oleh tenaga kerja tempatan, terutamanya generasi muda,” katanya.

Sehubungan itu, MEF mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan dasar secara berpe­ringkat dan disesuaikan dengan keperluan sektor dan lokasi selain menyemak semula kemampuan industri untuk menyerap kos tambahan secara realistik.

“Had pengambilan pekerja asing tidak wajar dilaksanakan secara menyeluruh tanpa memahami keperluan mikro sektor tertentu.

“MEF menyarankan agar langkah pengurangan pekerja asing dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira keperluan sebenar setiap sektor dan lokasi,” katanya.

MEF turut menyeru supaya semua dasar berkaitan tenaga kerja dibangunkan secara konsensus antara kerajaan, industri dan kesatuan sekerja agar seimbang antara kebajikan pekerja dan kelangsungan syarikat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN