PETALING JAYA: Sebarang keputusan bagi pengharaman penjualan rokok elektronik atau vape di negeri Selangor akan dibuat berlandaskan kajian terperinci.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, selain itu keputusan tersebut akan juga diambil dengan bersandarkan kepentingan kesihatan awam, keberkesanan penguatkuasaan dan kesejahteraan rakyat Negeri Selangor.
Justeru katanya, kerajaan negeri akan meneliti secara menyeluruh keperluan untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik di Selangor.
“Kita mengambil serius isu ini dan akan memastikan pandangan daripada semua pihak berkepentingan diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Perbincangan dijangka akan melibatkan agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mendapatkan gambaran yang lebih menyeluruh dari aspek penguatkuasaan, perundangan dan kesan terhadap sosioekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri itu akan meneliti cadangan pengharaman penjualan rokok elektronik di Selangor yang menjurus kepada penyalahgunaan dadah sintetik termasuk ‘fentanyl’ atau dadah zombie.
Menurutnya perkara itu akan dibincangkan bersama Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar dan Jabatan Kesihatan Negeri sebelum sebarang keputusan dibuat. – UTUSAN