Iran dikenakan sekatan baharu oleh AS - Utusan Malaysia

Iran dikenakan sekatan baharu oleh AS

SEBUAH kapal tangki belayar di Selat Hormuz, perairan Iran. - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan baharu terhadap individu, syarikat dan kapal Iran yang dituduh memudahkan penjualan minyak haram negara itu serta program peluru berpandu balistiknya, ketika Presiden Donald Trump meningkatkan tekanan ke atas Teheran berhubung program nuklearnya.

Jabatan Perbendaharaan pada Rabu mengumumkan tindakan tambahan yang menyasarkan kapal dalam armada bayangan Iran yang menurut pegawai telah secara kolektif mengangkut petroleum dan produk petrokimia bernilai ratusan juta dolar ke negara-negara asing.

“Daripada menyalurkan hasil ini untuk manfaat rakyat Iran, rejim (Iran) akhirnya menyelewengkannya untuk membiayai proksi pengganas serantau, program senjata dan perkhidmatan keselamatan represif, bukannya keperluan ekonomi asas yang berulang kali serta dengan berani dituntut oleh rakyat Iran,” menurut kenyataan jabatan itu.

Pejabat Kawalan Aset Asing Jabatan Perbendaharaan turut mengenakan sekatan terhadap sembilan individu dan syarikat-syarikat yang berpangkalan di Iran, Turkiye serta Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Kesemua mereka dituduh membantu Pasukan Pengawal Revolusi Islam dan kementerian pertahanan Iran mendapatkan bahan kimia prekursor serta jentera sensitif untuk program senjata.

“Berdasarkan kepimpinan tegas Presiden Trump, perbendaharaan akan terus memberi tekanan maksimum ke atas Iran bagi menyasarkan keupayaan senjata rejim itu dan sokongannya terhadap keganasan, yang diutamakan berbanding kehidupan rakyat Iran,” kata Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent dalam satu kenyataan.

Pusingan sekatan baharu ini dibuat ketika pegawai AS, termasuk utusan khas Steve Witkoff, dijadual mengadakan satu lagi pusingan rundingan yang dimediasi Oman dengan pegawai Iran pada Khamis di Geneva.

Pentadbiran Trump menyatakan bahawa Teheran tidak boleh dibenarkan memperkaya uranium atau memiliki senjata nuklear, sesuatu yang enggan dipersetujui oleh pihak Iran.

Trump, yang telah meningkatkan kekuatan ketenteraan di rantau itu di tengah amaran akibat serius jika rundingan diplomatik gagal, berkata dalam ucapan tahunan State of the Union pada Selasa bahawa AS masih menunggu untuk mendengar ‘kata-kata rahsia’ dari Iran.

Presiden itu  juga mendakwa bahawa Teheran telah membangunkan peluru berpandu yang mengancam negara-negara Eropah dan pangkalan AS di luar negara dan sedang berusaha membina peluru berpandu yang mampu sampai di  Amerika, dakwaan yang ditolak oleh menteri luar Iran pada Rabu.

Naib Presiden Vance berkata, AS sedang mencari perjanjian diplomatik dengan Iran, tetapi Trump mempunyai kuasa tunggal untuk memutuskan sama ada Washington akan menyerang negara Asia Barat itu. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN