MELAKA: Seorang pengawal keselamatan direman empat hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi membantu siasatan selepas disyaki mencederakan isterinya menggunakan pedang samurai, dua minggu lalu.
Perintah reman sehingga 28 April ini dikeluarkan Majistret N. Sivashangari terhadap suspek berusia 27 tahun itu bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.
Kejadian dipercayai berpunca apabila lelaki itu menuduh isterinya yang berusia 19 tahun curang dan mencari kenalan baharu, susulan penemuan aplikasi di telefon bimbit mangsa.
Katanya, kejadian didakwa berlaku kira-kira pukul 9 malam ketika pengadu yang juga isterinya berada di rumah keluarganya di Krubong di sini pada 12 April lalu.
Suspek mengambil pedang samurai sepanjang 0.5 meter dalam almari bilik dan mengugut untuk membunuh supaya isterinya mengaku.
Wanita itu turut mengalami kecederaan lebam pada lengan kiri kerana dipukul menggunakan bahagian belakang pedang.
Pergaduhan itu berlarutan sehingga Isnin lalu apabila suspek terus mendesak isterinya untuk mengaku curang dengan bertindak mencekik leher dan menumbuk muka mangsa.
Suspek juga mendesak mangsa mengaku di hadapan keluarga wanita itu sambil mengeluarkan ugutan bunuh.
Mangsa yang ketakutan kemudian membuat laporan di Balai Polis Tanjung Minyak kerana bimbang keselamatan dirinya. – UTUSAN