PETALING JAYA: Tindakan pemecatan ahli UMNO Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berisiko menggugat peluang kemenangan Barisan Nasional (BN) sekali gus melemahkan keyakinan pengundi terhadap parti itu.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mohd. Azhar Abd. Hamid berkata, meskipun langkah itu bertujuan menghalang sabotaj dalaman namun boleh menimbulkan persepsi bahawa UMNO sedang bergolak.
“Pengundi di Sabah lebih mengutamakan perpaduan dan pembangunan berbanding politik konfrontasi maka strategi ‘berperang habis-habisan’ termasuk pemecatan boleh dianggap tidak matang serta mengasingkan sokongan neutral.
“Sekiranya ahli yang dipecat mempunyai sokongan akar umbi kuat, tindakan drastik itu berisiko menjejaskan imej parti dan menimbulkan persepsi UMNO berdepan krisis lebih besar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, UMNO Sabah tidak berkompromi dengan pengkhianat dalaman dan mana-mana ahli yang terbukti mensabotaj parti bakal dipecat serta-merta.
Katanya, amaran itu diberikan kepada mana-mana pemimpin dan ahli yang cuba mensabotaj parti khususnya mereka yang tidak terpilih menjadi calon pada pilihan raya itu.
Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, tindakan keras terhadap pengkhianat parti tidak dinafikan untuk memberi mesej disiplin jelas, namun berisiko menimbulkan perpecahan berpanjangan.
Katanya, UMNO perlu membuktikan tindakan pemecatan menepati proses siasatan yang jelas supaya ahli tidak merasakan mereka dizalimi.
“Ketegasan itu boleh menyatukan jika berlandaskan prinsip telus dan adil tetapi akan menjadi racun jika ia dilihat bermotif politik atau dilakukan secara selektif terhadap pihak tertentu,” katanya.
Sementara itu, pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia UTM, Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, walaupun pertembungan lebih tiga penjuru tidak dapat dielak, BN masih berpeluang meraih undi penduduk pedalaman dengan sokongan sekutu daripada Pakatan Harapan (PH) dan parti tempatan lain.
Menurut beliau, BN masih mempunyai kekuatan di kawasan luar bandar manakala PH pula kuat di kawasan bandar selali gus kerjasama itu mampu menandingi Gabungan Rakyat Sabah semakin dominan di Sabah.-UTUSAN










