LIPIS: Isu penerokaan tanah secara tidak sah bukanlah perkara baharu, malah telah dilakukan sejak puluhan tahun lalu.
Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, beliau sama sekali tidak menyokong sebarang bentuk pencerobohan dan penerokaan tanah secara haram yang dilihat telah lama berlaku di beberapa kawasan di negeri ini.
“Dari segi pencerobohan haram saya memang tidak sokong kerana mereka membuat secara haram. Kalau merujuk kepada kes-kes yang kita lihat ini sebenarnya mereka telah meneroka secara haram (sejak) puluhan tahun.
“Kalau kita tengok pun pokok sudah besar sudah keluar hasil saya tidak pasti tetapi mungkin jutaan ringgit,” katanya pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Menteri Sumber Manusia, Parlimen Lipis dan UMNO Bahagian Lipis 2025 di Arena Jubli Perak di sini hari ini.
Turut berkenan mencemar duli pada majlis berkenaan ialah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Abdul Rahman yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia turut menyatakan rasa kesal kerana aktiviti seperti ini masih berterusan di negeri Pahang, walaupun peluang seharusnya turut diberikan kepada mereka yang mahu mendapatkan tanah secara sah. – UTUSAN