KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung Sungai Baru telah dinasihatkan agar tidak menandatangani perjanjian yang ditawarkan pihak pemaju.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pihaknya memberi nasihat itu kepada penduduk sejak penggal pertamanya sebagai wakil rakyat agar tidak menandatangani perjanjian tersebut.
“Saya sudah pesan dari awal, masa penggal pertama saya dulu, supaya jangan tandatangan perjanjian itu. Tapi mereka tetap buat keputusan untuk tandatangan.
“Sebab itu saya rasa sekaranglah masanya untuk saya jelaskan secara menyeluruh dari mula sampai akhir agar semua pihak tahu perkara sebenar,” katanya ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan Parlimen Titiwangsa semalam.
Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru, dengan proses pengambilan tanah bermula sejak 2016.
Sesetengah penduduk terutama penghuni rumah teres tidak bersetuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi yang ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, satu sidang media khas akan diadakan minggu hadapan bagi memperincikan perkembangan isu membabitkan pembangunan semula Kampung Sungai Baru.
Penjelasan itu penting susulan kekeliruan yang masih wujud dalam kalangan penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung projek tersebut.
“Saya akan buat sidang media khas supaya semua orang faham. NGO yang datang ke sini pun saya lihat masih tidak faham,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Pergerakan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur, Hussen Zulkarai berkata, kerajaan sebelum ini diminta bertanggungjawab terhadap isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru.
Katanya, malah bekas Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Mohd. Harun juga digesa memberi penjelasan berhubung status sebenar projek tersebut yang masih terbengkalai. – UTUSAN