KUALA LUMPUR: Indonesia masih belum memuktamadkan rundingan mereka dengan Amerika Syarikat (AS) mengenai perjanjian tarif timbal balas.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, oleh kerana itu tidak timbul isu sama ada Malaysia perlu mengambil langkah yang serupa dengan Indonesia dengan merundingkan semula terma perjanjian yang dimeterai dengan AS.
Beliau menegaskan penglibatan Malaysia dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) adalah bertujuan untuk memastikan akses pasaran yang berterusan dan stabil ke AS yang merupakan antara rakan dagang utama negara.
“Selain itu, memberi keyakinan kepada para pelabur bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama negara. Sebagai contoh, nilai eksport produk Malaysia ke AS adalah sebanyak RM161.3 bilion pada 2023 dan meningkat kepada RM198.6 bilion pada 2024.
“Bagi 2025 pula, nilai eksport produk Malaysia ke AS meningkat sebanyak 17.2 peratus kepada RM233.1 bilion,” katanya menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan dari Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang memintanya untuk menyatakan apakah Malaysia akan mengambil sikap serupa dengan Indonesia yang merunding semula ART.
Johari berkata, ART juga berfungsi sebagai mekanisme penting untuk mengurangkan risiko pengenaan tarif timbal balas yang lebih tinggi ke atas eksport Malaysia ke pasaran AS.
Jelasnya, sekiranya tarif itu dikenakan maka ia berpotensi menjejaskan daya saing produk tempatan, kedudukan negara dalam rantaian bekalan global serta peluang pekerjaan rakyat Malaysia dalam jangka masa panjang.
“Sekiranya kerajaan memutuskan untuk merundingkan semula ART, ianya perlu berdasarkan justifikasi-justifikasi bahawa perjanjian ini benar-benar memberi kesan negatif kepada kepentingan ekonomi, kebajikan rakyat dan kedaulatan negara,” katanya. – UTUSAN










