GEORGE TOWN: Negara anggota ASEAN perlu berani melakukan transformasi pendidikan bagi menyesuaikan diri dengan perubahan dunia yang pesat serta kemunculan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pendidikan perlu menjadi pemacu utama ke arah masa depan ASEAN yang lebih berdaya tahan, makmur dan bersatu.
“Malaysia komited untuk menerajui usaha ini. Kami bersedia berkongsi, belajar dan bekerjasama dengan negara-negara ASEAN bagi membentuk masa depan yang pintar, inklusif dan lestari,” katanya pada Sidang Kemuncak Pemerkasaan Pendidikan 2025 di sini semalam.
Menurut Fadhlina, Malaysia telah mengambil pendekatan transformasi berani melalui pelbagai inisiatif seperti pembaharuan kurikulum, latihan guru dalam pedagogi digitaldan sektor pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) serta industri.
“Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) kini menekankan kemahiran digital, penyelesaian masalah dan nilai. Lebih 100,000 guru juga sedang dilatih semula dalam pedagogi abad ke-21.
“Selain itu, kerjasama TVET dengan sektor seperti elektrik dan elektronik (E&E) turut diperkukuh, termasuk pembangunan laluan latihan modular bersama politeknik dan kolej vokasional,” katanya.
Sementara itu di KEPALA BATAS: Institusi bukan di bawah Kementerian Pendidikan digalakkan untuk menyemarakkan semangat patriotisme mereka menerusi pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam masing-masing.
Fadhlina berkata, inisiatif ini bertujuan memastikan semua pihak menyokong usaha memperkukuhkan rasa cinta terhadap negara, selain mencerminkan kesatuan dalam penghormatan terhadap simbol kebangsaan.
“Satu perkara penting yang kita mesti tonjolkan daripada inisiatif ini adalah iltizam kita di peringkat KPM untuk memastikan bahawa aspek yang terkait rapat dengan semangat cintakan negara, perpaduan serta jati diri kebangsaan ini dibugar di peringkat prasekolah, sekolah rendah dan di peringkat semua institusi pendidikan di bawah KPM,” katanya.
Beliau berkata demikian Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang Pada Pakaian Seragam Murid di bawah Institusi Pendidikan KPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Badawi.
Seramai 5.3 juta pelajar dibekalkan dengan dua unit lencana Jalur Gemilang yang mula dipakai secara rasmi pada semalam.
Fadhlina berkata, pihaknya yakin negara dapat terus melahirkan generasi madani yang lebih kuat jati dirinya sekaligus akan terus memastikan martabat negara khususnya menerusi Jalur Gemilang diberikan penghormatan sewajarnya.