Penahanan dua pengarang akhbar Cina tidak langgar undang-undang

Penahanan dua pengarang akhbar Cina tidak langgar undang-undang

FAHMI Fadzil berswafoto dengan para petugas Nadi Balai Raya Taman Desa Skudai, Taman Sri Skudai, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penahanan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting akhbar bahasa Cina bagi membantu siasatan isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar itu tidak melanggar undang-undang.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai kuasa bagi menjalankan siasatan berkaitan isu yang mencetuskan kemarahan umum.

Menurutnya, siasatan terhadap isu itu dijalankan dari tiga sudut berbeza yang melibatkan PDRM, Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Siasatan turut dijalankan di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta beberapa akta lain yang terletak di bawah bidang kuasa PDRM.

“Justeru, sebarang penahanan bagi membantu siasatan adalah selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya ditemui selepas melawat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi), Balai Raya Taman Desa Skudai, di sini hari ini.

Kelmarin, Presiden Interim Parti Bersatu untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Dr P. Ramasamy dilaporkan kesal dengan tindakan pihak polis menahan dua pengarang itu bagi membantu siasatan isu berkenaan.

Ramasamy berkata, tindakan itu diambil meskipun akhbar berkenaan telah mengambil langkah bertanggungjawab dengan menggantung kedua-dua individu tersebut serta telah memohon maaf.

Fahmi berkata, penglibatan SKMM dalam siasatan juga dianggap relevan memandangkan akhbar itu turut menerbitkan kandungan menerusi platform digital seperti e-paper.

“Dalam isu ini, dua kementerian dan pihak polis sedang giat menjalankan siasatan. Keputusan akhir akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menentukan tindakan lanjut sama ada pendakwaan di mahkamah atau langkah lain,” jelasnya.

Selasa lalu, akhbar berbahasa Cina itu menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia, namun gambar bendera terbabit tidak lengkap.

Insiden itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka serta menyemak sesuatu bahan terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya