KOTA BHARU: Seorang pemilik restoran mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mempamerkan logo halal tanpa kebenaran di premisnya di Jalan Temenggong di sini, November lalu.
Lim Beng Kee, 48, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memerihalkan makanan sebagai halal tanpa memiliki apa-apa kebenaran atau perakuan sah daripada pihak berkuasa di restoran miliknya di Jalan Temenggong kira-kira pukul 12.46 tengah hari pada 18 November lalu.
Perbuatan itu melanggar Perintah 4(1)(a) &(b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 yang menjadi suatu kesalahan di bawah Perintah 8 (b) Perintah dan boleh dihukum di bawah Perintah 8 (B) Perintah yang sama.
Bagi kesalahan itu, OKS boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-dua jika sabit kesalahan.
Hakim membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 13 Mei ini untuk prosiding jatuh hukum. – UTUSAN